HONG KONG, 1 Disember – Pihak berkuasa Hong Kong pada Isnin mendedahkan siasatan ke atas kebakaran paling dahsyat di bandar itu dalam tempoh beberapa dekad, dipercayai berpunca daripada bahan pengubahsuaian yang tidak berkualiti, sehingga meragut sekurang-kurangnya 151 nyawa.
Polis meneruskan pemeriksaan di tujuh blok yang musnah dalam kebakaran pada Rabu lalu di kompleks Wang Fuk Court, menemui mayat penduduk di tangga dan bumbung bangunan ketika mangsa cuba menyelamatkan diri.
Manakala, lebih 40 individu dilaporkan masih hilang.
“Sebahagian daripada mayat telah menjadi abu, oleh itu kami mungkin tidak dapat menjumpai semua individu yang hilang,” kata Pegawai Polis Tsung Shuk Yin kepada pemberita pada Isnin.
Ujian ke atas beberapa sampel jaring hijau yang digunakan untuk membalut kayu di bangunan semasa kebakaran mendapati, ia tidak menepati piawaian kalis api, menurut pegawai yang mengendalikan siasatan dalam sidang media.
Kontraktor yang menjalankan kerja pengubahsuaian menggunakan bahan-bahan yang tidak berkualiti ini di kawasan yang sukar diakses, berkesan menyembunyikannya daripada pemeriksa, kata Ketua Setiausaha Eric Chan.-REUTERS