SYDNEY, 6 Disember – Australia pada Sabtu mengenakan sekatan kewangan dan larangan perjalanan ke atas empat pegawai kerajaan Taliban di Afghanistan susulan kemerosotan situasi hak asasi manusia di negara itu, terutamanya bagi gadis dan wanita.
Menteri Luar Australia, Penny Wong, berkata pegawai-pegawai tersebut terlibat "dalam penindasan terhadap wanita dan gadis.
Jelas Wong, pegawai terbabit juga turut merosakkan tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang" di negara yang dikuasai Taliban itu.
Dalam satu kenyataan, Wong turut menegaskan bahawa sekatan itu menyasarkan tiga menteri Taliban dan ketua hakim kumpulan itu.
Australia turut menuduh mereka mengehadkan akses kepada pendidikan, pekerjaan, kebebasan bergerak dan keupayaan kepada kaum wanita untuk menyertai kehidupan awam.
Langkah-langkah tersebut merupakan sebahagian daripada rangka kerja baru kerajaan Australia yang membolehkan negara itu "menjalankan sekatan dan larangan perjalanan sendiri secara langsung untuk meningkatkan tekanan terhadap Taliban, dengan menyasarkan penindasan terhadap rakyat Afghanistan," kata Wong.
Australia menerima ribuan pelarian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dari Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kuasa di negara Asia Selatan yang musnah akibat perang itu, menyaksikan sebahagian besar penduduk kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.
Australia merupakan antara beberapa negara yang pada Ogos 2021 menarik balik tenteranya dari Afghanistan, selepas menjadi sebahagian daripada pasukan antarabangsa yang diketuai NATO yang melatih pasukan keselamatan Afghanistan dan menentang Taliban selama dua dekad selepas pasukan yang disokong Barat menyingkirkan militan Islam itu daripada kuasa.
Sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan, mereka dikritik kerana mengehadkan hak dan kebebasan wanita dan gadis secara mendalam melalui larangan pendidikan dan pekerjaan.
Taliban berkata mereka menghormati hak wanita, sejajar dengan tafsiran mereka terhadap undang-undang Islam dan adat tempatan. - REUTERS