COLOMBO, 23 Oktober – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Sri Lanka telah mengeluarkan amaran kepada warganya mengenai ancaman serangan di destinasi peluncuran ombak popular, Arugam Bay, di timur negara itu.
Menurut kenyataan dari kedutaan, mereka telah "menerima maklumat yang boleh dipercayai mengenai serangan yang menyasarkan lokasi pelancongan popular."
Notis ancaman tersebut telah mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelancong di kawasan peluncuran ombak yang terkenal di kalangan pelancong asing, terutama pelancong Israel.
Amaran tersebut dikeluarkan susulan hantaran di media sosial yang menggesa boikot terhadap perniagaan milik Israel di kawasan berkenaan.
Protes oleh kumpulan Muslim tempatan terhadap perang Israel di Gaza dan Lubnan turut mendapat sokongan daripada masyarakat di Sri Lanka, negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Warga Israel hanya membentuk kurang daripada 1.5 peratus daripada 1.5 juta pelancong yang melawat Sri Lanka dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu kira-kira 20,000 orang.
Namun, Arugam Bay, yang terletak sekitar 400 kilometer dari Colombo, merupakan destinasi popular dalam kalangan peluncur ombak Israel.
Berikutan amaran kedutaan AS, pihak polis Sri Lanka mengumumkan bahawa mereka sedang merangka pelan keselamatan baharu untuk melindungi pelancong di kawasan pelancongan dan resort.
"Melihat kepada situasi perang di Asia Barat dan Eropah Timur, pihak polis bersama agensi perisikan sedang berusaha untuk melindungi pelancong dan resort," menurut kenyataan polis.-AFP