NEW YORK, 26 September - Timbalan Perdana Menteri Britain, David Lammy desak serangan berterusan di Gaza perlu dihentikan segera.
Lammy turut mengecam operasi ketenteraan Israel yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Lammy menegaskan keadaan di Gaza adalah “amat tidak adil” dan mesti ditamatkan segera demi keselamatan rakyat Palestin.
“Inilah sebabnya saya ingin menyentuh secara langsung tragedi Israel-Palestin. Apa yang berlaku di Gaza tidak dapat dipertahankan, tidak berperikemanusiaan, amat tidak adil dan mesti dihentikan sekarang," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Britain kini secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, sambil menegaskan rakyat Palestin layak menjalani sesuatu yang lebih baik berbanding keganasan berterusan.
Lammy turut menyokong usaha Amerika Syarikat (AS) dan negara Arab membangunkan pelan damai, menekankan tindakan diplomatik bersama boleh mengekalkan harapan keamanan di rantau itu.
“Tiada jawapan lain kecuali tebusan dibebaskan segera, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, dan gencatan senjata dilaksanakan sekarang,” katanya.
Setakat ini, 157 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin sebagai langkah ke arah penyelesaian dua negara.
Negara itu termasuk United Kingdom, Kanada, Australia, Perancis dan Portugal.
Mesyuarat tahunan itu membawa tema “Lebih Baik Bersama: 80 Tahun dan Seterusnya untuk Keamanan, Pembangunan dan Hak Asasi Manusia.” - VIORY