fb fb fb fb fb

Al-Shabaab kepung hotel 13 jam, semua pengganas terbunuh

Hotel SYL Mogadishu / FOTO REUTERS

MOGADISHU, 15 Mac- Pengepungan oleh kumpulan pengganas Al-Shabaab ke atas sebuah hotel di ibu negara Somalia Mogadishu berakhir pada Jumaat selepas lebih 13 jam.

Menurut seorang pegawai tempatan, Abdirahim Yusuf, kumpulan itu mengakui bertanggungjawab melakukan serangan bermula kira-kira jam 9.45 malam (waktu tempatan) apabila lelaki bersenjata menyerbu hotel SYL dengan beberapa tembakan.

“Semua lelaki bersenjata pengganas terbunuh dan keadaan kembali normal sekarang, pasukan keselamatan sedang menjalankan pembersihan dan siasatan menyeluruh,” katanya.

Sehingga pagi Jumaat, masih tidak diketahui sama ada terdapat kematian dan tiada kenyataan rasmi kerajaan mengenai serangan yang berlaku pada bulan Ramadan itu.

Saksi berkata, pegawai polis tiba di hotel dalam beberapa minit selepas serangan itu, mencetuskan pertempuran senjata yang sengit.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas 16 individu dan entiti di seluruh Afrika dan Asia Barat yang dituduh melakukan pengubahan wang untuk kumpulan pengganas itu.

Hotel SYL pernah diserang oleh Al-Shabaab beberapa kali pada masa lalu, kali terakhir pada 2019.

Kumpulan pengganas telah melancarkan perang terhadap kerajaan persekutuan yang disokong antarabangsa selama lebih 16 tahun dan sering menyasarkan hotel, yang cenderung menjadi tuan rumah pegawai tinggi Somalia dan asing.

Walaupun militan telah dihalau keluar dari ibu negara oleh pasukan Kesatuan Afrika, mereka mengekalkan kehadiran yang kuat di luar bandar Somalia dan telah melakukan banyak serangan terhadap sasaran politik, keselamatan dan orang awam termasuk di Mogadishu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE