fb fb fb fb fb

Abdel Fattah al-Sisi kekal Presiden Mesir

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi/AFP

EGYPT, 18 Disember- Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menang dalam Pilihan raya Presiden bagi penggal ketiga berturut-turut dengan memperolehi 89.6 peratus undian.

Menurut Ketua Pihak Berkuasa Pilihan raya Hazem Badawy, peratusan keluar mengundi mencapai sehingga 66.8 peratus. Lebih 39 juta orang memilih Abdel Fattah al-Sisi.

Beliau adalah bekas Ketua Tentera Mesir yang telah memerintah negara Arab yang mempunyai penduduk paling ramai, selama sedekad.

Beliau bersaing menentang tiga calon lain dalam pilihan raya yang diadakan pada 10 dan 12 Disember lalu.

Calon Parti Rakyat Republik Hazem Omar, meraih 4.5 peratus undian, seterusnya pemimpin Parti Sosial Demokrat Mesir, Farid Zahran dan Abdel-Sanad Yamama dari Wafd.

Al-Sisi kini bersedia untuk berkhidmat mengikut perlembagaan.

Kemenangan al-Sisi bukanlah sesuatu yang mengejutkan, walaupun Mesir berhadapan dengan krisis ekonomi dan ketegangan berhubung konflik Israel-Hamas di Gaza.

Mata wang negara itu telah jatuh menjunam dan inflasi tahunan berada pada 36.4 peratus dan menaikkan harga beberapa jenis makanan pada minggu ini serta menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

Malah sebelum krisis ekonomi, kira-kira dua pertiga daripada penduduk Mesir yang berjumlah hampir 106 juta berada dalam garis kemiskinan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN