PARIS, 19 Februari- Kira-kira 900 tan bateri litium terbakar di sebuah loji kitar semula bateri di selatan Perancis, kata pihak berkuasa pada Ahad. Kebakaran itu menyebabkan asap tebal menyelubungi atas tapak berkenaan.
Kebakaran itu berlaku di sebuah gudang milik kumpulan kitar semula Perancis SNAM di Viviez, utara Toulouse, kata ahli majlis tempatan Pascal Mazet dalam satu kenyataan di X.
Bateri litium adalah penting dalam peranti elektrik tetapi mengandungi bahan mudah terbakar. Sekiranya digabungkan dengan tenaga yang disimpan, boleh menyebabkan berlaku kebakaran apabila terdedah kepada haba.
Bagaimanapun anggota bomba berkata tiada tanda-tanda pembebasan pencemaran udara berbahaya.
Media Perancis menunjukkan asap tebal di atas tapak Viviez dan akhbar Le Monde melaporkan kira-kira 70 anggota bomba sedang mengawal kebakaran itu.
Charles Giusti, seorang pegawai tempatan di wilayah Aveyron yang termasuk Viviez, berkata dalam siaran televisyen BFM, ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang yang tinggal berdekatan.
Wilayah itu dalam satu kenyataan semalam berkata, kebakaran itu berjaya dikawal berikutan ia tidak terlalu marak dan berlarutan selama beberapa jam.
Notis keselamatan berkata sekiranya berlaku kebakaran besar, produk yang ada di sana berkemungkinan mengakibatkan pelepasan kadmium melalui asap.- REUTERS