fb fb fb fb fb

90 pelarian Rohingya bersama enam mayat ditinggalkan di pantai Aceh

FOTO AFP

LHOKSEUMAWE, 31 Oktober- Sekumpulan pelarian Rohingya, termasuk kanak-kanak, sekali lagi ditinggalkan oleh penyeludup manusia di kawasan pantai barat Indonesia, dengan enam mayat ditemui berdekatan.

Menurut seorang pegawai tempatan, awal pagi tadi, kira-kira 100 meter dari pantai di Aceh Timur, kumpulan tersebut yang terdiri daripada 46 wanita, 37 lelaki, dan tujuh kanak-kanak ditinggalkan dalam keadaan terbiar di laut.

Sebahagian pelarian memerlukan rawatan perubatan segera, sementara pegawai daerah berusaha menyediakan khemah di pantai sebagai tempat perlindungan sementara.

Pemangku Gabenor Aceh, Safrizal, menyalahkan sindiket penyeludupan manusia atas kejadian tersebut.

Insiden yang terbaru itu adalah kumpulan ketiga pelarian Rohingya yang tiba di Indonesia bulan ini, menjadikan jumlah keseluruhan lebih daripada 150 orang setakat ini.

Masyarakat Aceh, yang turut pernah melalui konflik berdarah selama beberapa dekad, biasanya bersimpati dengan nasib saudara seagama.

Walaupun ramai yang terbuka untuk membantu, ada juga yang merasakan ketibaan pelarian Rohingya sebagai satu bebanan tambahan.

Di samping itu, Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB, yang bermaksud negara itu enggan mengambil tanggungjawab penuh untuk menjaga pelarian yang tiba.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE