NEW DELHI, 24 Oktober- Syarikat penerbangan India terus menghadapi gangguan akibat ancaman bom palsu apabila 70 penerbangan diancam pada Khamis.
Ancaman terbaru diterima walaupun pihak berkuasa India meningkatkan langkah keselamatan dan memberi amaran hukuman berat kepada mereka yang bertanggungjawab membuat ancaman bom palsu itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike (BIA) Sri Lanka pada petang Khamis mengisytiharkan kecemasan penuh selepas menerima ancaman bom ke atas penerbangan syarikat Vistara dari Mumbai ke Colombo.
"Panggilan tidak spesifik mengenai ancaman bom dilaporkan kepada penerbangan itu sebelum mendarat di BIA. Sehubungan itu, agensi keselamatan dan pihak berkuasa berkaitan menerima pakai semua langkah berjaga-jaga dan pencegahan selaras dengan protokol," kata lapangan terbang itu dalam satu kenyataan.
Penerbangan yang membawa 116 orang termasuk lapan anak kapal itu mendarat tanpa sebarang insiden.
Tujuh puluh penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan India, termasuk Air India, Akasa Air dan IndiGo, menerima ancaman bom baharu, menurut laporan media India.
Kira-kira 250 penerbangan India menerima ancaman sedemikian dalam masa 10 hari. - BERNAMA