fb fb fb fb fb

70% kematian di Gaza melibatkan wanita, kanak-kanak

Pegawai dan sukarelawan menulis nama pada mayat seorang warga Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel/REUTERS

GAZA, 22 Disember- Di bilik mayat Hospital Nasser, di selatan Gaza, pekerja kesihatan dan sukarelawan terus menguruskan mayat individu yang terkorban dalam serangan udara yang dilakukan rejim zionis Israel.

Mereka merekodkan apa sahaja fakta asas berkaitan si mati seperti nama, nombor kad pengenalan, umur dan jantina.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, beberapa mayat cedera dengan teruk. Hanya mereka yang dikenal pasti akan dituntut oleh saudara-mara dan dikebumikan selain memasukkan nama korban ke dalam jumlah kematian peperangan. Selebihnya akan disimpan di dalam peti sejuk bilik mayat selama berminggu-minggu akibat tidak dapat dikenal pasti dan tidak dituntut.

Angka kematian berjumlah kira-kira 20,000 individu pada Khamis. Kementerian itu berkata beribu-ribu individu lagi mati tertimbus di bawah runtuhan. Kira-kira 70% daripada mereka terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, katanya.

Angka kematian daripada kementerian itu menarik perhatian antarabangsa dalam konflik yang dicetuskan oleh tentera Israel pada 7 Oktober lalu.

Kebanyakan hospital di seluruh Gaza kini ditutup, beratus-ratus doktor dan pekerja kesihatan lain terkorban dalam serangan berdarah itu selain komunikasi terhalang berikutan kekurangan bahan api dan elektrik.

Pekerja bilik mayat di Hospital Nasser adalah sebahagian daripada usaha antarabangsa bagi membantu penduduk yang cedera. Bantuan itu termasuk doktor dan pegawai kesihatan di Gaza serta ahli akademik, aktivis dan sukarelawan di seluruh dunia akibat keadaan yang semakin teruk.

Sebahagian daripada pekerja merupakan sukarelawan. Mereka tidak mempunyai makanan atau air yang mencukupi untuk keluarga namun tetap meneruskan usaha merekodkan jumlah kematian rakyat Palestin, kata Hamad Hassan Al Najjar.

Ketua bilik mayat Saeed Al-Shorbaji dan beberapa ahli keluarganya turut terbunuh dalam serangan udara Israel, kata Al Najjar.

"Dia merupakan tonggak bilik mayat ini," kata Al Najjar. Sebahagian daripada mayat itu kehilangan kepala atau anggota badan. Ia merupakan satu tugas yang sukar apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini.

"Ia perlu mengambil masa berjam-jam untuk memulihkan keseimbangan psikologi, untuk pulih daripada trauma ini," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI