fb fb fb fb fb

7 orang maut, pengeboman berhampiran sekolah di barat Pakistan

Foto hiasan

ISLAMABAD, 1 November- Pengeboman berhampiran sekolah perempuan di barat Pakistan membunuh tujuh orang, termasuk lima kanak-kanak, dalam serangan yang menyasarkan polis yang ditugaskan mengawal pemberi vaksin polio pada Jumaat.

"Van polis yang diserang sedang mengambil kakitangan untuk melindungi petugas vaksin polio," kata pegawai kanan polis Rahmat Ullah, memberitahu AFP.

Tambahnya, terdapat sekolah perempuan berhampiran tempat serangan di bandar Mastung di wilayah Balochistan.

Pakistan dan negara jiran Afghanistan adalah satu-satunya negara yang mempunyai kes polio yang kekal endemik dan pasukan vaksinasi sering menjadi sasaran kumpulan yang melancarkan kempen menentang pasukan keselamatan.

“Tujuh individu, seorang pegawai polis, lima kanak-kanak dan seorang peniaga terbunuh dalam serangan di pasar utama bandar itu, ujar pegawai kanan Abdul Fatah memberitahu AFP.

Bagaimanapun, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi menerusi kenyataan berkata serangan yang menyasarkan kanak-kanak adalah satu tindakan kejam.

Awal minggu ini, dua pegawai polis yang mengawal petugas vaksin polio bergerak dari rumah ke rumah di barat laut Pakistan ditembak mati dalam serangan yang didakwa tindakan militan.

Insiden itu berlaku sehari selepas Pakistan melancarkan kempen vaksinasi selama seminggu yang menyasarkan lebih 45 juta kanak-kanak berumur lima tahun ke atas.

Pakistan telah menyaksikan lonjakan kes polio tahun ini dengan mencatat sekurang-kurangnya 41 kes setakat ini, berbanding enam kes pada tahun lalu. -AFP.

ROSLINA BINTI DIN