fb fb fb fb fb

50 terkorban akibat serangan terbaharu Israel di Gaza

FOTO AFP

GAZA CITY, 28 April- Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan bahawa serangan udara Israel pada Ahad telah mengorbankan 50 orang di wilayah tersebut.

Israel menyambung semula kempen ketenteraannya di Gaza pada 18 Mac lalu selepas perjanjian gencatan senjata yang menghentikan pertempuran selama dua bulan gagal disebabkan ketidaksefahaman dengan kumpulan militan Hamas.

"Sebanyak 50 syahid dilaporkan akibat serangan berterusan Israel di Gaza sejak subuh," kata pegawai pertahanan awam Gaza, Mohammed al-Mughayyir, kepada AFP.

Serangan di timur Gaza City mengorbankan sembilan orang awam, manakala hospital di Khan Yunis melaporkan tujuh mayat mangsa serangan di sebuah rumah.

Hospital al-Awda juga menerima empat mayat serta beberapa yang cedera dari serangan di sebuah kafe berhampiran kem Bureij.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikuasai Hamas pada Ahad mengumumkan jumlah keseluruhan kematian mencecah 52,243 orang sejak perang bermula, selepas beratus-ratus orang yang hilang disahkan maut.

Israel berkata, kempen ketenteraan disambung semula bertujuan memaksa Hamas membebaskan tawanan yang masih ditahan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE