PHUKET, 21 Januari - Seramai 49 pelarian Rohingya yang menaiki bot dari Bangladesh ke Malaysia telah ditemui berhampiran pantai di pulau pelancongan popular di Phuket, Thailand menurut pihak polis.
Kumpulan itu ditemui oleh penduduk berhampiran kuil Ta Chat Chai di Phuket dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menurut laporan media tempatan.
"Kami menemui 49 pelarian Rohingya dan membawa mereka ke balai polis untuk tindakan lanjut," kata Pegawai Kanan Polis, Sopit Ruangsri.
Menurut Sopit, kumpulan itu memberitahu polis melalui penterjemah bahawa mereka telah meninggalkan Bangladesh bersama 75 yang lain dalam usaha untuk sampai ke Malaysia.
Mereka mendakwa ramai dalam kalangan mereka diserang dan maut semasa dalam perjalanan.
Mereka kini berada di tempat perlindungan sementara di bawah jagaan pihak berkuasa Thailand dan akan dihantar ke negara ketiga, namun pegawai belum menyatakan lokasinya.
Pelarian Rohingya yang ditahan biasanya ditempatkan di pusat tahanan sementara, namun pusat tahanan itu sering mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia kerana keadaannya yang sesak dan tidak bersih. - AFP