fb fb fb fb fb

47 kanak-kanak mati atau alami kecacatan di Yaman dalam tempoh 2 bulan

(Utusan Khas UNHCR, Angelina Jolie menyantuni seorang kanak-kanak di Sanaa semasa
lawatan bagi menarik perhatian dunia kesan konflik tujuh tahun terhadap rakyat Yaman/AFP)

DUBAI, 12 Mac- Dalam tempoh dua bulan tahun ini, 47 orang kanak-kanak ‘dibunuh atau mengalami kecacatan’ akibat perang saudara di Yaman.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) golongan kanak-kanak adalah yang pertama dan paling terkesan apabila seramai 10,000 kanak-kanak terbunuh atau cedera dalam perang saudara yang tercetus sejak 2015.

Menurut wakil UNICEF ke Yaman, Philippe Duamelle, “hanya dua bulan pertama sudah 47 orang kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cacat di beberapa lokasi sekitar Yaman, jelasnya menerusi satu kenyataan.

“Sejak konflik tercetus di Yaman hampir tujuh tahun lalu, PBB mengenal pasti lebih 10,200 kanak-kanak terbunuh atau mengalami kecederaan, jumlah sebenar jauh lebih tinggi.”

Sementara itu konflik di Ukraine pula merekodkan, sekurang-kurangnya 71 kanak-kanak terbunuh dan lebih 100 orang cedera dalam tempoh dua minggu sejak pencerobohan Rusia di Ukraine, menurut kenyataan ahli parlimen negara itu pada Khamis.

Ratusan ribu orang pula dilaporkan terbunuh sama ada secara langsung atau sebaliknya dengan perang saudara antara pemberontak Houthi disokong Iran dengan tentera kerajaan disokong tentera pakatan diketuai Arab Saudi.

 


(Khadija Mohammad (kiri) bersama rakannya sedang membasuh pakaian di perkampungan
Bani Shaybah, luar Taez bandar ke-3 Yaman,8 Mac 2022/AFP)

November lalu, Program Pembangunan PBB memaklumkan, kira-kira 377,000 orang mati akibat pertempuran, kebuluran, tiada bekalan air bersih dan ancaman penyakit menjelang akhir 2021.

“Keganasan dan kesedihana sudah menjadi perkara biasa di Yaman menyebabkan kesan yang teruk kepada jutaan kanak-kanak dan keluarga,” kata Duamelle.

“Sudah tiba masanya penyelesaian politik yang kukuh dicapai demi keamanan rakyat dan kanak-kanak yang sepatutnya mendapat hak itu.”

Konflik menyebabkan keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan lumpuh dengan jutaan penduduk hilang tempat tinggal menyebabkan 80% rakyat bergantung hidup kepada dana bantuan.

Menurut UNICEF, lebih 2,500 sekolah tidak lagi dapat digunakan kerana digunakan untuk tujuan ketenteraan atau dijadikan tempat perlindungan untuk penduduk yang dipindahkan.

Januari lalu, Majlis Keselamatan PBB melaporkan hampir 2,000 kanak-kanak yang direkrut pemberontak, mati di medan pertempuran antara Januari 2020 sehingga May 2021. -AFP

Media Baharu