fb fb fb fb fb

41 maut akibat banjir besar di Mexico

Pemandangan udara yang dirakam semasa tinjauan udara Tentera Laut Mexico menunjukkan keadaan jalan raya yang ditenggelami air akibat hujan lebat di Poza Rica, negeri Veracruz, Mexico/ AFP

TENANGO DE DORIA, 12 Oktober - Sekurang-kurangnya 41 orang maut akibat banjir besar yang melanda Mexico sejak beberapa hari lalu susulan hujan lebat berterusan, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.

Agensi pertahanan awam negara itu melaporkan hujan lebat di 31 daripada 32 negeri di seluruh Mexico, menyebabkan sungai melimpah, kampung tenggelam, tanah runtuh serta jalan raya dan jambatan runtuh.

Negeri Hidalgo antara kawasan paling terjejas dengan sekurang-kurangnya 22 kematian, lebih 1,000 rumah rosak dan 90 komuniti terputus hubungan dengan pasukan penyelamat, menurut kenyataan Sekretariat Keselamatan Persekutuan.

Negeri Puebla pula melaporkan sekurang-kurangnya sembilan kematian dan kira-kira 80,000 penduduk terjejas akibat cuaca ekstrem. Lima lagi maut di Veracruz, manakala seorang mangsa dilaporkan terkorban di Queretaro.

Presiden Claudia Sheinbaum dalam kenyataan di platform X berkata, pasukan kerajaan sedang dikerahkan untuk membuka laluan dan membantu penduduk yang terjejas.

Beliau memaklumkan bahawa ribuan anggota tentera, bot, pesawat dan helikopter telah digerakkan dalam operasi menyelamat dan pengagihan bantuan di kawasan terkesan.

Lebih 10,000 anggota tentera kini ditugaskan di lapangan bersama peralatan dan kenderaan penyelamat.

Pusat perlindungan turut dibuka bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Kawasan paling teruk dilanda bencana ialah Sierra Madre Oriental, banjaran gunung yang terletak selari dengan pantai Teluk Mexico dan menempatkan banyak komuniti kecil yang terputus hubungan sejak Jumaat.

Di Tulancingo, bandar di Hidalgo, pasukan media AFP melaporkan beberapa jalan menuju ke kawasan pergunungan ditutup akibat tanah runtuh dan jalan runtuh. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN