fb fb fb fb fb

30 terbunuh akibat hujan lebat, banjir di Pakistan

Foto AFP

LAHORE/PESHAWAR, 2 Ogos- Banjir yang dibawa oleh hujan lebat di Pakistan mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang minggu ini, kata pihak berkuasa pada Jumaat, ketika bandar kedua terbesar Lahore itu dibasahi dengan hujan paling banyak yang diterimanya sejak lebih empat dekad.

Ketibaan musim tengkujuh telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh di seluruh Asia Selatan pada minggu lalu, dengan sekurang-kurangnya 195 terbunuh dan hampir 200 lagi hilang dalam satu bencana di negara jiran India.

Hujan melanda utara Pakistan, menyebabkan banjir, bangunan runtuh dan meningkatkan risiko renjatan elektrik.

Rekod hujan selama 44 tahun dipecahkan di Lahore sekali lagi, kata pegawai utiliti di wilayah timur laut Punjab, di mana pihak berkuasa mencatat enam kematian dan memberi amaran bahawa banjir kilat dijangka berlaku di selatan minggu ini.

Jurucakap agensi pengurusan bencana, Anwar Shehzad berkata di Khyber Pakhtunkhwa, seramai 12 kanak-kanak adalah antara yang maut dalam tiga hari terakhir hujan dan banjir di wilayah barat laut.

Organisasi global, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melihat Pakistan sebagai salah satu negara yang paling terdedah kepada cuaca ekstrem dan perubahan iklim, dengan banjir mendatangkan malapetaka pada 2022, yang membunuh lebih 1,700 orang dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI