BANGKOK, 20 Januari- Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan 25 orang lagi cedera di kawasan tahanan sementara di negeri Rakhine barat dalam serangan udara junta Myanmar, kata kumpulan bersenjata etnik minoriti.
Tentera Arakan (AA) terlibat dalam pertempuran sengit dengan junta bagi menguasai Rakhine.
AA menyiarkan di saluran Telegram berkenaan sebuah jet tentera mengebom kawasan tahanan di Perbandaran Mrauk-U sekitar 4.45 petang (10.15 GMT) pada Sabtu. Ahli keluarga askar junta ditahan oleh AA.
"Mereka yang terbunuh dan cedera adalah ahli keluarga askar dalam Tentera Myanmar. Kami menahan mereka semasa pertempuran," kata AA.
"Ketika kami sedang menyediakan rancangan untuk membebaskan mereka, mereka telah dibom," kata AA.
Sembilan kanak-kanak adalah antara yang maut, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, katanya.
Manakala, lain-lain yang terbunuh adalah wanita.
Gambar selepas itu disiarkan di saluran Telegram menunjukkan barisan panjang mayat dibaringkan di atas lantai di kawasan berumput, ditutup dengan kain putih.
Konflik di Rakhine adalah salah satu episod pertempuran berdarah yang melanda Myanmar sejak tentera menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa 2021, mencetuskan pemberontakan bersenjata yang meluas.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata bulan ini lebih 3.5 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik di Myanmar, meningkat 1.5 juta daripada tahun lepas.-AFP