fb fb fb fb fb

24 orang maut akibat penyakit bawaan air di Sudan- MSF

Foto hiasan

PORT SUDAN, 22 Februari- Wabak penyakit bawaan air di selatan Sudan telah membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dalam tempoh tiga hari lalu.

Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menerusi kenyataan memaklumkan wabak yang tidak terkawal itu turut menyebabkan lebih 800 orang dimasukkan ke hospital.

Menurut MSF, punca jangkitan kemungkinan besar dari sumber air sungai yang digunakan kebanyakan keluarga.

Penyelaras Perubatan MSF, Dr Francis Layoo Ocan berkata, pesakit mengalami gejala cirit-birit, dehidrasi, muntah dan mata cekung.

"Keadaan ini benar-benar membimbangkan dan hampir tidak terkawal," katanya.

"Kami kehabisan ruang dan kami kini menerima pesakit di kawasan lapang dan merawat mereka di atas lantai kerana katil tidak mencukupi," tambahnya.

Penularan wabak di negeri White Nile berlaku selepas serangan dron dilaporkan di stesen janakuasa Um Dabakar, kira-kira 275 kilometer (170 batu) ke selatan ibu kota Khartoum yang menjejaskan bekalan air bersih di bandar Kosti.

Insiden itu berlaku ketika sistem penjagaan kesihatan Sudan lumpuh akibat perang saudara yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan lebih daripada 12 juta orang terpaksa berpindah.

Sejak April 2023, Sudan berdepan konflik antara ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan Mohamed Hamdan Daglo, ketua Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera.

Pertempuran itu telah menjejaskan infrastruktur kesihatan negara dengan 80 peratus kemudahan kesihatan di kawasan yang dilanda konflik tidak lagi berfungsi, menurut angka rasmi.

Sudan mengisytiharkan wabak taun, dengan hampir 25,000 kes dan 699 kematian direkodkan menjelang Oktober, menurut data kerajaan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN