GAZA CITY, 23 April- Pasukan penyelamat Palestin menemui beberapa mayat dalam keadaan rentung di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara, susulan serangan udara Israel yang mengorbankan 17 nyawa sejak awal pagi Rabu.
Bangunan Sekolah Yafa yang terletak di kejiranan Al-Tuffah, Gaza City, difahamkan menjadi sasaran utama serangan, ketika ia menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berlarutan. Menurut jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal, antara mangsa yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Kami menemui mayat-mayat dalam keadaan rentung. Letupan menyebabkan kebakaran besar dan menyukarkan operasi menyelamat,” katanya. Beberapa jenazah kemudian dibawa ke Hospital Al-Shifa dan diletakkan di bilik mayat, dibalut dengan kain kafan putih.
Wartawan AFP di lokasi melaporkan suasana pilu menyelubungi hospital, dengan tangisan kaum wanita yang meratapi kematian anak-anak dan ahli keluarga. Beberapa mangsa dibawa untuk disemadikan, termasuk kanak-kanak, manakala saudara-mara berkumpul dalam kesedihan.
Di kawasan Khan Younis, penduduk tempatan, Walid al-Najjar, menyuarakan keperitan hidup yang dilalui rakyat Gaza. “Kami hanya mahu peperangan ini berakhir. Kami juga mahu hidup macam orang lain di dunia ini. Hidup kami musnah, kami miskin dan hancur,” katanya.
Sejak konflik bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, ribuan penduduk Gaza terpaksa berlindung di sekolah-sekolah dan bangunan awam. Data agensi kemanusiaan menunjukkan hampir seluruh populasi Gaza sekitar 2.4 juta orang telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sejak perang bermula.
Bassal turut mengakui pasukannya kini kekurangan peralatan penting untuk menjalankan operasi menyelamat. “Kami tidak mempunyai peralatan dan jentera yang mencukupi untuk mengeluarkan mayat dari runtuhan atau menyelamatkan mangsa yang tertimbus,” jelasnya.
Menurut tentera Israel, mereka telah menyasarkan sekitar 40 ‘kenderaan kejuruteraan’ yang didakwa digunakan untuk tujuan keganasan. Namun Bassal menyatakan serangan itu memusnahkan jentolak dan mesin berat yang penting untuk menyelamat mangsa.
Serangan terbaharu itu juga menyebabkan empat lagi kematian di timur Gaza City selepas beberapa rumah dibedil. Tiada kenyataan segera dikeluarkan pihak tentera Israel berhubung insiden berkenaan.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 1,890 nyawa dilaporkan terkorban di Gaza sejak kempen ketenteraan Israel disambung semula pada 18 Mac lalu, menjadikan angka keseluruhan korban melebihi 51,000 orang. Di pihak Israel pula, serangan Hamas tahun lalu mengorbankan 1,218 orang, kebanyakannya orang awam.
Sementara itu, usaha untuk mencapai gencatan senjata baharu masih buntu. Delegasi Hamas kini berada di Kaherah bagi meneruskan rundingan bersama Mesir dan Qatar, namun setakat ini belum ada perkembangan positif.
Dalam perkembangan berasingan, Jerman, Perancis dan Britain menggesa Israel untuk segera membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Menteri luar ketiga-tiga negara dalam satu kenyataan bersama menyatakan kebimbangan terhadap risiko kebuluran, penularan wabak dan kematian besar-besaran jika sekatan berterusan.
“Kami menggesa Israel untuk segera membenarkan kemasukan bantuan secara pantas dan tanpa halangan bagi memenuhi keperluan asas penduduk awam,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa banyak dapur komuniti yang menyediakan makanan kini terpaksa ditutup akibat kekurangan bekalan. “Disebabkan ketiadaan gas memasak, keluarga terpaksa membakar plastik untuk menyediakan makanan,” kata agensi kemanusiaan OCHA.
Walaupun masih terdapat sedikit bekalan bahan api di Rafah dan kawasan utara Gaza, penduduk tidak dapat mengaksesnya kerana kawasan tersebut kini termasuk dalam zon larangan yang diisytihar pihak tentera. Berdasarkan analisis peta tentera, anggaran menunjukkan lebih separuh daripada Gaza kini berada bawah kawalan Israel.-AFP