BANGKOK, 5 Disember- Sebuah bas dua tingkat merempuh pokok di selatan Thailand, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan 32 penumpang.
Bas itu dalam perjalanan dari Bangkok ke selatan Thai apabila ia berlanggar dengan pokok di wilayah pantai Prachuap Khiri Khan pada malam Isnin.
Gambar yang disiarkan dalam media tempatan menunjukkan bahagian hadapan bas itu terbelah dua akibat rempuhan yang kuat, dengan pokok itu masih tersangkut di tengah.
"Daripada siasatan awal, 14 orang maut dan 32 orang cedera," kata Arnon Tangto, penyiasat polis di daerah Huay Yang di Prachuap Khiri Khan.
Beliau berkata punca kemalangan belum dapat disahkan, tetapi polis mengesyaki pemandu bas yang cedera parah mungkin tidak cukup tidur.
"Kami bekerjasama dengan hospital untuk memeriksa tahap alkohol dalam darahnya," kata Arnon.
Polis masih menyiasat sama ada mangsa yang maut semuanya warga Thailand.
Thailand mempunyai antara kadar kemalangan jalan raya tertinggi di dunia dengan kira-kira 20,000 orang terbunuh setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.-AFP