fb fb fb fb fb

14 cedera peluru berpandu Yaman jatuh berdekatan Tel Aviv

Foto Reuters

KAHERAH, 21 Disember – Tentera Israel mengesahkan kegagalan memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman awal pagi Sabtu, menyebabkan peluru tersebut jatuh di kawasan Tel Aviv, Jaffa.

Kejadian itu mengakibatkan 14 individu mengalami kecederaan ringan, menurut perkhidmatan kesihatan.

Pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian merawat mangsa dengan kecederaan ringan akibat serpihan.

Beberapa mangsa turut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, menurut kenyataan rasmi perkhidmatan kesihatan.

Polis Israel turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai peluru berpandu yang jatuh di sebuah kawasan kediaman di Tel Aviv.

Kumpulan Huthi yang disokong Iran di Yaman telah beberapa kali melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke arah Israel.

Tindakan itu didakwa sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Susulan itu, pada Khamis lalu, Israel telah melancarkan serangan balas terhadap pelabuhan dan infrastruktur tenaga di kawasan yang dikuasai Huthi di Yaman.

Pihak Israel turut memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan dilakukan terhadap kumpulan tersebut jika tindakan mereka berterusan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN