fb fb fb fb fb

10 maut, tiga cedera tembakan di pasar raya

NEW YORK, 15 Mei- Seorang remaja lelaki menembak mati 10 orang, manakala tiga mangsa cedera, di sebuah pasar raya di Buffalo, New York, semalam, dalam insiden yang disyaki polis bermotifkan perkauman.

Suspek kulit putih berusia 18 tahun itu dilengkapi senjata dan memakai helmet serta peralatan taktikal, malah dipercayai menyiarkan serangan berkenaan secara langsung melalui rakaman kamera.

Pesuruhjaya Polis Buffalo, Joseph Gramaglia, berkata terdahulu suspek menembak empat orang di kawasan parkir pasar raya itu menyebabkan tiga maut, sebelum masuk ke dalam premis dan meneruskan serangan.

Antara yang terbunuh di dalam pasar raya itu ialah seorang pesara polis yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan bersenjata.

"Pengawal keselamatan itu melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek. Namun, suspek - yang memakai perisai badan - menembak pengawal keselamatan itu.

"Apabila pasukan polis tiba di lokasi kejadian, penyerang itu mengacu pistol ke leher sendiri tetapi berjaya dipujuk dan menyerah diri," katanya pada sidang media.


(Orang ramai berkumpul di luar pasar raya dalam kejadian tembakan di New York pada Sabtu/ AP)

Polis turut memaklumkan, 11 daripada mangsa kejadian itu adalah warga Afrika-Amerika.

Sementara itu, ejen khas yang mengetuai pejabat lapangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Buffalo, Stephen Belongia, berkata serangan terbabit disiasat sebagai kes jenayah kebencian.

"Kami sedang menyiasat kejadian itu sebagai jenayah kebencian dan kes ekstremisme ganas yang bermotifkan sentimen perkauman," katanya.

Peguam daerah untuk wilayah Erie di mana Buffalo terletak, John Flynn, berkata suspek akan dihadapkan ke muka pengadilan atas pertuduhan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, jika sabit kesalahan.

Flynn berkata, suspek menggunakan 'senjata serangan' - istilah yang boleh merujuk kepada beberapa jenis senapang dan senapang patah di New York - namun tidak memperincikan secara khusus jenis senjata terbabit.

Datuk Bandar Buffalo, Byron Brown pula memaklumkan bahawa suspek 'melakukan perjalanan berjam-jam dari kawasan luar komuniti itu untuk membuat jenayah berkenaan.' - AFP

Media Baharu