
KUALA LUMPUR, 12 April – Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek yakin pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia mampu menyuntik moral barisan pemain badminton Malaysia pada Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark yang dijadualkan berlangsung 24 April hingga 3 Mei ini.
- Zii Jia bergelut dengan kecederaan sejak Disember 2024, beberapa kali berehat sebelum kembali beraksi pada awal 2026.
- Prestasinya masih belum konsisten; hanya sekali mara suku akhir daripada enam kejohanan disertainya tahun ini.
- Datuk Rashid cadangkan Zii Jia sebagai perseorangan ketiga bergantung kesiapsiagaan, berharap beliau tingkatkan kecergasan dan pikul tanggungjawab.
Datuk Rashid berkata biarpun dibelenggu prestasi kurang memuaskan selepas pulih daripada kecederaan sebelum ini, Zii Jia masih mempunyai pengaruh besar dan memegang status sebagai seorang pemain ternama di pentas dunia termasuk menjuarai Seluruh England 2021 di Birmingham.
“Kehadiran Zii Jia sedikit sebanyak boleh menguatkan lagi pasukan dan meningkatkan semangat mereka.
“Sebelum ini, pemain selain daripada Zii Jia jika disenaraikan tiada nama (pengaruh) dan standard pun jauh. Pemain yang ada nama mampu memberi pengaruh besar dalam acara berpasukan. Jika pemain kurang ternama, penyertaan mereka hanya cukup syarat. Dengan adanya Zii Jia, peluang menang (perlawanan) memang ada,” katanya.
Pemain berusia 28 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak mengalami masalah buku lali pada Final Jelajah Dunia Disember 2024, sebelum kembali beraksi pada Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac tahun lepas.
Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu terpaksa berehat sekali lagi sebelum kembali ke gelanggang pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos tahun lalu akibat kecederaan yang belum pulih sepenuhnya.
Rentetan itu, beliau beraksi pada Terbuka Hong Kong pada September sebelum menarik diri pada pusingan pertama Masters China akibat kecederaan belakang, yang menyebabkannya mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada pemulihan.
Sejak kembali beraksi bermula dengan Terbuka Malaysia 2026 pada Januari lepas, Zii Jia hanya sekali mara ke suku akhir iaitu pada Masters Thailand 2026 daripada keseluruhan enam kejohanan yang disertainya tahun ini.
Datuk Rashid pada masa sama berpendapat pemain yang kini menghuni ranking ke-83 dunia itu mungkin lebih sesuai diturunkan selaku pemain perseorangan ketiga berdasarkan prestasi semasanya bagi menguatkan cabaran negara mencari mata kemenangan.
“Buat masa sekarang, kalau Zii Jia diletakkan sebagai perseorangan ketiga, kita ada pemain yang kuat dan boleh bersaing dengan pemain negara lain. Zii Jia adalah pemain ternama dan pernah juara Seluruh England tetapi yang paling penting adalah tahap kecergasan semasa. Sama ada beliau benar-benar bersedia untuk menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga masih menjadi tanda tanya,” jelasnya.
Justeru, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu berharap agar juara Kejohanan Badminton Asia 2022 berkenaan mampu meningkatkan tahap kecergasan dan memikul tanggungjawab sebaik mungkin sekiranya diberikan kepercayaan beraksi di Horsens kelak.
Selain Zii Jia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi melengkapkan kem perseorangan, manakala acara beregu diterajui Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani. Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland. – BERNAMA