
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) berharap skim gaji jurulatih tempatan disemak semula agar lebih setimpal selain mengelakkan jurulatih tempatan direkrut negara luar.
- Kekurangan jurulatih tempatan kerana kadar gaji terlalu rendah berbanding tawaran dari luar negara.
- WFM mahu skim gaji jurulatih disemak semula agar lebih setimpal dan mengekalkan pakar tempatan.
- MSN memberi persetujuan lisan untuk kenaikan gaji, tetapi kadar kenaikan belum dimuktamadkan.
Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.
Menurut beliau, skuad kebangsaan kini berdepan kekurangan jurulatih tempatan susulan kadar gaji sedia ada yang terlalu rendah berbanding tawaran yang diberikan oleh negara luar seperti Singapura, Kanada dan Brunei.
“Kita perlu menjaga kebajikan jurulatih tempatan. Selepas pulang dari Kejohanan Dunia di Brazil tahun lalu, Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang China dan Iran dengan lima pingat emas.
“Ketika itu, negara luar mula menawarkan kontrak kepada jurulatih Malaysia dengan gaji sekitar AS2,000 hingga AS2,500, sedangkan di Malaysia jurulatih tempatan hanya menerima antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.
Beliau percaya, Malaysia berisiko kehilangan lebih ramai pakar tempatan sekiranya isu tersebut tidak ditangani segera, selain kos membawa masuk jurulatih dari China yang kini semakin tinggi.
Tambahnya, MSN telah memberi persetujuan secara lisan untuk menaikkan gaji jurulatih tempatan, namun kadar kenaikan itu masih belum dimuktamadkan.
Buat masa ini, skuad kebangsaan hanya mempunyai tiga jurulatih iaitu Chang Yong Sang dari China, Koo Chee Zhung dan Loh Choon How, dengan Choon How yang juga pemenang dua pingat emas Sukan SEA Manila 2019 mengendalikan skuad pelapis.
Sukan wushu kekal sebagai antara penyumbang pingat utama negara termasuk pada Sukan SEA Thailand Disember lalu apabila skuad negara meraih tiga emas, satu perak dan lima gangsa.