Vinicius ledak dua gol, Madrid rampas puncak La Liga

Penyerang Real Madrid, Vinicius Junior menjaringkan gol penalti pada aksi La Liga menentang Real Sociedad/ AFP

MADRID, 15 Februari – Vinicius Junior menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika Real Madrid membelasah Real Sociedad 4-1 untuk merampas kedudukan teratas La Liga, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vinicius Junior menjaringkan dua gol penalti membantu Madrid menang 4-1 ke atas Real Sociedad.
  • Gonzalo Garcia membuka jaringan selepas hantaran Trent Alexander-Arnold dalam penampilan sulungnya kembali.
  • Federico Valverde menambah gol ketiga dengan rembatan menarik dari luar kotak penalti.
  • Kemenangan itu meletakkan Madrid di puncak La Liga dan menamatkan rekod tanpa kalah 10 perlawanan Sociedad.

Kemenangan itu meletakkan Madrid dua mata di hadapan juara bertahan, FC Barcelona yang dijadual berdepan Girona FC pada Isnin.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi Gonzalo Garcia hasil hantaran lintang Trent Alexander-Arnold yang membuat penampilan sulung selepas pulih daripada kecederaan paha sejak awal Disember.

Real Sociedad menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi sepakan penalti Mikel Oyarzabal selepas kekasaran dilakukan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Madrid kembali di depan apabila Vinicius tenang menyempurnakan sepakan penalti sebelum Federico Valverde menambah gol ketiga menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti.

Vinicius melengkapkan kemenangan dengan satu lagi gol penalti, sekali gus memastikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Alvaro Arbeloa.

Kemenangan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah 10 perlawanan buat Sociedad di bawah kendalian jurulatih dari Amerika Syarikat, Pellegrino Matarazzo.

Madrid selepas ini bakal berdepan aksi penting play-off Liga Juara-Juara Eropah menentang SL Benfica di Lisbon, Selasa ini. -AFP