V. Murugan pelengkap barisan kejurulatihan NFDP

Foto FAM

KUALA LUMPUR 23 Januari – Bekas penjaga gol kebangsaan, V. Murugan menjadi individu terbaharu dalam barisan kejurulatihan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selepas beliau melapor diri di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • V. Murugan dilantik sebagai jurulatih penjaga gol AMD B-17 dalam barisan kejurulatihan NFDP 2026.
  • Beliau akan bekerjasama dengan ketua jurulatih Noor Zaidi Rohmat dan dua penolong ketua jurulatih.
  • Murugan mempunyai pengalaman luas sebagai penjaga gol kebangsaan dan jurulatih bersama beberapa kelab Malaysia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam perkongsian di Facebook memaklumkan, Murugan, 61, telah dilantik sebagai jurulatih penjaga gol skuad AMD B-17.

“Ia satu-satunya jawatan yang tidak diumum sewaktu pengenalan barisan kejurulatihan skuad AMD B-13, B-14, B-15, B-16 dan B-17 bagi tahun 2026 pada 12 Januari lalu.

“Beliau akan bersama skuad AMD B-17 bawah kendalian ketua jurulatih, Noor Zaidi Rohmat yang dibantu dua penolong ketua jurulatih, Syahrul Azwari Ibrahim dan Armi Sharif,” menurut kenyataanitu.

Selain Murugan, jurulatih penjaga gol lain yang berada dalam barisan kejurulatihan NFDP 2026 ialah Firdaus Mohamad (AMD B-13), Rozaimi Rohim (AMD B-14), Norazlan Razali (AMD B-15) dan Farizal Harun (AMD B-16).

Sebagai rekod, Murugan adalah bekas penjaga gol kebangsaan era 1990-an yang berpengalaman beraksi bersama Perak, Selangor, Public Bank, Melaka, Negeri Sembilan, PDRM dan Telekom Melaka.

Beliau juga pernah menjadi jurulatih penjaga gol bersama MISC-MIFA, PJ City FC dan Touchtronics FC.