
LOS ANGELES, 16 Februari – USA Stars muncul juara Perlawanan All-Star NBA ke-75 yang berlangsung di Los Angeles, California, awal pagi tadi selepas menewaskan USA Stripes 47-21 dalam aksi akhir.
- USA Stars menang kejuaraan All-Star NBA selepas menewaskan USA Stripes 47-21.
- Anthony Edwards dinobat MVP kerana aksi cemerlang membantu pasukannya juara.
- Format tiga pasukan dikekalkan dengan perubahan untuk lebih menyerlahkan bakat global.
- Acara dimeriahkan penonton terkenal dan persembahan artis antarabangsa.
Perlawanan pertunjukan anjuran Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan AS (NBA) itu menampilkan gabungan pemain yang dipilih menerusi undian peminat sebelum dibahagikan kepada tiga pasukan iaitu USA Stars, USA Stripes dan Team World.
USA Stars dibarisi pemain muda termasuk Anthony Edwards, manakala USA Stripes menampilkan barisan bintang senior seperti LeBron James. Team World pula menghimpunkan pemain antarabangsa.
Walaupun konsep tiga pasukan bukan perkara baharu, edisi kali ini menyaksikan beberapa perubahan format selain usaha lebih agresif untuk mengetengahkan bakat global.
Dalam saingan awal, USA Stars menewaskan Team World pada perlawanan pertama, sebelum USA Stripes mengatasi USA Stars pada aksi kedua. USA Stripes kemudian menundukkan Team World pada perlawanan ketiga sekali gus menyaksikan dua pasukan Amerika Syarikat itu mara ke perlawanan penentuan.
Anthony Edwards dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) susulan aksi cemerlang membantu USA Stars menjulang kejuaraan.
Acara berprestij itu turut diserikan kehadiran tokoh terkenal termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama serta Putera Britain, Putera Harry bersama isterinya, pelakon dan personaliti televisyen Meghan Markle.
Edisi ke-75 itu juga menampilkan persembahan artis ternama antaranya Brandy dan Sarah McLachlan.-REUTERS