Ultras Selangor dilarang hadir tiga perlawanan

FOTO The Red Giants

SHAH ALAM, 8 Februari – Ultras Selangor dilarang menghadiri tiga perlawanan bermula malam ini hingga 22 Februari ini susulan insiden membabitkan beberapa individu daripada kumpulan penyokong itu sebelum aksi Liga Super menentang Terengganu FC minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ultras Selangor dilarang menghadiri tiga perlawanan mulai malam ini hingga 22 Februari.
  • Larangan termasuk dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia dan satu perlawanan Liga Super.
  • Individu terlibat penyalahgunaan atau pemilikan dadah dikenakan larangan stadium tiga tahun.
  • Selangor FC sokong titah Sultan Selangor dan seru sokongan bertanggungjawab demi keselamatan.

Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan larangan tersebut merangkumi dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC serta satu perlawanan Liga Super bertemu Kuching City FC.

Menurut kelab itu, individu yang disabitkan kesalahan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dadah pula dikenakan larangan memasuki stadium bagi mana-mana perlawanan melibatkan Selangor FC selama tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta.

“Selangor FC menjunjung kasih titah perintah dan cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Diraja Kelab serta nasihat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selaku Pengerusi Selangor FC berhubung insiden terbabit.

“Kelab tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjamin ketenteraman serta keselamatan orang awam,” menurut kenyataan itu.

Selangor FC turut berharap insiden berkenaan menjadi iktibar kepada Ultras Selangor dan kumpulan penyokong itu dapat kembali ke stadium dengan semangat serta azam baharu, selain menjadi teladan dalam memeriahkan suasana bola sepak tempatan secara berhemah.

Kelab itu juga menyeru semua penyokong agar terus memberikan sokongan secara bertanggungjawab dan saling menghormati demi memelihara keselamatan awam, imej kelab serta masa depan bola sepak tempatan.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada 1 Februari lalu yang didakwa membabitkan penyokong Selangor FC.

Sebagai Penaung Diraja Selangor FC, baginda turut tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya penyokong Selangor FC.