
MANCHESTER, 17 Mac – Pemain bintang Real Madrid, Kylian Mbappe kembali menyertai pasukan menjelang aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara Eropah (UCL) menentang Manchester City pada awal pagi Rabu.
- Mbappe diketepikan sejak 21 Februari akibat kecederaan lutut kiri ketika menentang Osasuna.
- Real Madrid mempunyai kelebihan selesa 3-0 hasil kemenangan pada aksi pertama.
- Arbeloa menegaskan kualiti Mbappe penting dan sukar diganti oleh pemain lain seperti Brahim Diaz.
- Jude Bellingham sudah kembali berlatih tetapi tidak akan diturunkan kerana masih memulihkan hamstring.
Penyerang Perancis itu sebelum ini diketepikan sejak 21 Februari lalu akibat kecederaan pada lutut kiri ketika aksi liga menentang Osasuna dan dilaporkan sudah kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan pada sesi terakhir.
Kepulangannya hadir tepat pada masanya apabila Real Madrid turun ke gelanggang lawan dengan kelebihan selesa 3-0 hasil kemenangan pada aksi pertama.
Ketua jurulatih, Alvaro Arbeloa berkata, kualiti dimiliki Mbappe amat penting dalam memperkukuh pasukan bagi memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.
“Mbappe membawa kualiti kepada pasukan yang mungkin tidak dimiliki pemain lain seperti Brahim Diaz dan dia juga mempunyai persefahaman yang baik dengan rakan sepasukan.
“Jika ada satu perkara yang menonjol tentang Mbappe, ia adalah kecerdikannya. Dia mampu bergerak dengan sangat baik ke ruang yang ditinggalkan lawan dan saya tidak sabar untuk melihatnya kembali beraksi serta membantu pasukan dalam perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah, Jude Bellingham juga dilaporkan telah kembali berlatih, namun tidak akan diturunkan kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan hamstring. – REUTERS