UCL: Mbappe akui Real Madrid kurang konsisten

Foto AFP

LISBON, 28 Januari – Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe mengakui pasukannya tidak cukup konsisten untuk meraih tempat lapan teratas selepas tergelincir ke pusingan play-off Liga Juara Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mbappe mengaku Real Madrid tidak cukup konsisten dan perlu memperbaiki prestasi mereka.
  • Kekalahan 2-4 kepada Benfica menyebabkan Real turun ke tempat kesembilan dan ke play-off.
  • Real perlu bermain dua perlawanan play-off lagi untuk layak ke pusingan 16 Liga Juara Eropah.
  • Mbappe meminta penyokong Santiago Bernabeu memberi sokongan, bukan mengejek, untuk membantu pasukan.

Juara Eropah 15 kali itu tewas 2-4 kepada Benfica awal pagi tadi, sekali gus menamatkan saingan di tempat kesembilan liga.

Ini bermakna Real perlu menentang wakil Portugal itu sekali lagi atau Bodo/Glimt pada Februari nanti, bukannya mara terus ke pusingan 16 terbaik.

“Masalahnya ialah kami tidak konsisten dalam permainan, kami perlu memperbaikinya.

“Kami berhak berada dalam situasi ini kerana Benfica beraksi lebih baik, sekarang kami perlu bermain dua lagi perlawanan play-off.

“Kami ada masa sehingga bulan depan untuk memperbaiki permainan,” kata Mbappe kepada wartawan.

Mbappe bagaimanapun tidak pasti punca kemerosotan prestasi Madrid menentang Benfica.

Namun, Mbappe menggesa penyokong Madrid supaya memberi sokongan kepada pasukan di Santiago Bernabeu pada Ahad menentang Rayo Vallecano dalam La Liga, bukannya mengejek seperti yang berlaku awal Januari lalu.

“Datang dan sokong pasukan, kami bermain kurang baik satu perlawanan tetapi kami belum tersingkir daripada Liga Juara Eropah. Di La Liga kami berada dalam momentum yang baik sekarang.

“Jika Bernabeu bersama kami, kami akan menang pada Ahad,” katanya. -AFP