Tumpu pemulihan, Wei Chong tekad ke All England

Pemain beregu negara, Man Wei Chong/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong masih menyasarkan untuk beraksi di Kejohanan All England, meskipun sedang menjalani proses pemulihan kecederaan lutut kanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wei Chong masih sasar beraksi di All England walaupun dalam proses pemulihan kecederaan lutut kanan.
  • Dia menerima suntikan PRP dan menjalani rehabilitasi, belum kembali ke latihan intensiti penuh sehingga dua minggu lalu.
  • Imbasan menunjukkan tiga kecederaan pada lutut kanan: koyakan kecil ACL, kecederaan meniskus dan chondral tahap dua.
  • Keputusan muktamad penyertaan ditentukan selepas pemeriksaan akhir doktor pada Khamis ini.

Kejohanan berprestij itu membuka tirai pada 3 hingga 8 Mac ini di Birmingham, England.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pasukan perubatan.

Wei Chong berkata, kecederaan tersebut memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dan dia belum kembali menjalani latihan intensiti penuh, sejak dua minggu lalu.

“Memang kena ambil masa sebab dua minggu lalu sebelum Tahun Baharu Cina, saya baru buat suntikan PRP (Platelet-Rich Plasma). Sekarang dalam proses pemulihan. Belum pulih sepenuhnya lagi, memang ambil masa panjang sedikit.

“Kita bincang dengan doktor. Doktor percaya saya, saya pun percaya diri sendiri. Jangan sebab ada kecederaan terus nak kurangkan. Kalau ada peluang masuk gelanggang, memang akan beri yang terbaik,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Wei Chong dan pasangannya, Tee Kai Wun menarik diri daripada Terbuka Jerman bagi memberi ruang secukupnya untuk proses rehabilitasi menjelang All England.

Berdasarkan imbasan yang dijalankan, dia mengalami tiga kecederaan pada lutut kanan iaitu koyakan kecil pada Ligamen Krusiat Anterior (ACL), kecederaan meniskus serta kecederaan chondral.

“ACL itu paling minor, koyak sikit saja. Tapi ada dua lagi kecederaan tahap dua, iaitu meniskus dan chondral. Semua di lutut kanan,” jelasnya.

Wei Chong memaklumkan dia hanya menjalani latihan ringan dan fisioterapi dalam tempoh dua minggu lalu sebelum kembali meningkatkan intensiti latihan di gelanggang bermula minggu ini.

“Dua minggu lepas memang tak banyak latihan di gelanggang, cuma buat ringan-ringan sebab masih berasa sakit. Minggu ini baru mula lebih banyak di gelanggang dan rasa okey,” katanya.

Wei Chong dijadual menjalani pemeriksaan akhir pada Khamis ini sebelum keputusan muktamad mengenai penyertaannya ke All England diputuskan.

“Setakat ini memang masih rancang untuk pergi. Khamis ini akan jumpa doktor lagi, harap semuanya berjalan lancar,” katanya.