
KUALA LUMPUR, 21 Febuari – Terengganu Cycling Team (TSG) membuka kempen Eropah dengan langkah kanan apabila pelumba sensasinya, Pierre Barbier muncul juara perlumbaan Grand Prix Alaiye di Turkiye, hari ini.
- Pierre Barbier memenangi Grand Prix Alaiye, menamatkan perlumbaan 127.2 km dengan catatan 2 jam 58 minit 53 saat.
- Barbier mengalahkan pelumba tuan rumah Mustafa Tarakci dan Ramazan Yilmaz untuk menggenggam podium utama.
- Kemenangan dianggap suntikan moral dan tonik awal musim bagi TSG untuk terus mengekalkan momentum.
Pakar pecut dari Perancis itu menamatkan perlumbaan sejauh 127.2 kilometer dengan catatan dua jam 58 minit 53 saat, sekali gus memastikan kedudukan teratas podium menjadi miliknya.
Kemenangan itu diraih selepas Barbier menewaskan dua pelumba tuan rumah dari Konya Buyuksehir Belediye Spor, Mustafa Tarakci dan Ramazan Yilmaz yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Tempat keempat pula menjadi milik Bartlomiej Proc dari pasukan Wibatech Lubelskie Perla Polski.
Mengulas kejayaan tersebut beliau menyifatkannya sebagai suntikan moral terbaik buat dirinya dan pasukan selepas mengharungi laluan yang mencabar.
“Saya gembira dapat meraih kemenangan kerana laluan hari ini agak sukar dengan beberapa pendakian. Saya cuba kekal fokus sehingga ke garisan penamat.
“Ini keputusan yang baik untuk pasukan dan penaja dan kami akan terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum,” katanya.
Kejayaan itu juga merupakan kemenangan pertama Barbier bagi musim ini, sekali gus memberikan tonik awal buat TSG dalam memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.