Trofi Piala Dunia FIFA kembali dipamerkan di Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Januari Selepas 12 tahun, peminat bola sepak tanah air kembali berpeluang menyaksikan secara dekat Trofi Piala Dunia FIFA apabila trofi ikonik itu tiba di Malaysia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trofi Piala Dunia FIFA tiba di Malaysia, disambut di Lapangan Terbang Subang bersama legenda Gilberto Silva.
  • Ketibaan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr K Nagulendran.
  • Trofi dipamerkan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk sesi pameran dan program bersama rakan strategik.
  • Pameran memberi peluang peminat dan media merakam gambar serta mendekati sejarah trofi hingga petang ini.

Trofi berprestij berkenaan selamat tiba di Lapangan Terbang Subang (Subang SkyPark Terminal) dengan diiringi legenda bola sepak Brazil, Gilberto Silva yang juga anggota skuad juara Piala Dunia FIFA 2002.

Turut hadir menyambut ketibaan trofi, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr K Nagulendran.

Ia merupakan sebahagian daripada siri jelajah Trofi Piala Dunia FIFA, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan merasai kehangatan temasya bola sepak terbesar dunia.

Selepas majlis sambutan, trofi berkenaan dibawa ke Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk sesi pameran dan program bersama rakan strategik bola sepak negara.

Pameran itu memberi peluang kepada peminat dan pengamal media merakam gambar bersama trofi asal Piala Dunia FIFA, selain mendekati sejarah serta simbol kejayaan tertinggi dalam arena bola sepak dunia.

Kali terakhir Trofi Piala Dunia FIFA dibawa ke Malaysia adalah pada 2014, menjadikan kunjungan kali ini detik istimewa yang dinantikan peminat bola sepak tempatan.

Trofi berkenaan dipamerkan kepada orang ramai di Sunway Pyramid sehingga petang ini.

Piala Dunia FIFA 2026 yang menampilkan 48 pasukan buat julung kali, dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.