TFCSB jelaskan isu sekatan perpindahan, sahkan bayaran dibuat kepada Ivan Mamut

Ivan Mamut / BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Terengganu Football Club (TFCSB) menegaskan pihaknya telah membuat sebahagian pembayaran kepada pemain import, Ivan Mamut, sebagai bukti komitmen kelab dalam menyelesaikan isu sekatan perpindahan yang sedang diperkatakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • TFCSB mengesahkan telah membuat sebahagian pembayaran kepada Ivan Mamut sebagai bukti komitmen menyelesaikan isu sekatan perpindahan.
  • Bukti pembayaran dikemukakan kepada pemain dan perkara telah dimaklumkan kepada FIFA untuk tindakan selanjutnya.
  • Kelab menegaskan akan bertindak secara telus, profesional, dan mematuhi keputusan serta peraturan berkuat kuasa.

Menurut kenyataan rasmi kelab pada Isnin, tindakan tersebut mencerminkan kesungguhan pengurusan kelab untuk menunaikan tanggungjawab secara profesional serta mematuhi prosedur perundangan bola sepak antarabangsa.

“TFCSB telah membuat sebahagian pembayaran kepada Ivan Mamut sebagai komitmen kelab dalam menyelesaikan perkara ini secara teratur. Baki bayaran akan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan dan kini berada di bawah kawalan serta pemantauan pihak kelab,” menurut kenyataan itu.

Kelab turut memaklumkan, bukti pembayaran telah dikemukakan kepada pemain terbabit dan perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada FIFA untuk tindakan selanjutnya.

TFCSB menegaskan akan terus bertindak secara telus dan profesional serta mematuhi sebarang keputusan yang ditetapkan mengikut peraturan berkuat kuasa, selain akan memaklumkan perkembangan terkini selepas menerima keputusan rasmi daripada FIFA.