
MELAKA, 22 Februari – Ketua Jurulatih interim Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan berharap pasukannya dapat mengekalkan momentum dan konsisten selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi.
- Kekalkan momentum dan konsistensi selepas kemenangan penting menentang Melaka FC.
- Pelbagai pilihan pemain tempatan membantu persiapan untuk baki perlawanan.
- Pemain kecederaan perlu pulih segera untuk memperkuat pasukan.
- Perkukuh fokus, disiplin dan corak permainan untuk kekal dalam kelompok lima teratas.
“Ramai pemain tempatan yang diturunkan dan mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kita kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk persediaan mengharungi baki perlawanan.
“Ada ketika kita kelihatan agak kelam-kabut namun pemain berjaya menghadapi tekanan dan melakukan seperti apa yang saya mahu dalam tempoh 10 minit terakhir serta menepati perancangan,” katanya.
Tengku Hazman turut menyifatkan kemenangan itu penting bagi memastikan TFC dapat terus bersaing dalam kelompok lima teratas liga selain mengekalkan jarak mata dengan pencabar terdekat.
Menjelang pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC selepas ini, Tengku Hazman berharap pemain yang mengalami kecederaan dapat kembali memperkuat pasukan serta terus memantapkan corak permainan dan memperkukuh aspek konsentrasi serta disiplin.
Sementara itu Ketua Jurulatih Melaka FC E. Elavarasan berkata mereka perlu mengurangkan kesilapan yang memberi kelebihan kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.
“Pemain perlu fokus sepanjang 90 minit permainan kerana kesilapan kecil boleh mengundang padah,” jelasnya. -bernama