
KUALA LUMPUR, 19 Februari– Kejayaan menjuarai Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara menjadi pemangkin baharu buat gandingan wanita negara, Nur Syafira Mohamad Rezuan dan Nurul Balqis Anisha Bakar, yang kini mengintai peluang disenaraikan dalam skuad pelapis kebangsaan yang bakal ditubuhkan.
- Kejayaan menewaskan juara Piala Dunia memberi keyakinan dan pendedahan antarabangsa kepada gandingan muda ini.
- Mereka berharap dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam skuad pelapis kebangsaan yang bakal ditubuhkan.
- Pasangan itu menunjukkan konsistensi sepanjang kejohanan dengan kemenangan straight set dari pusingan awal.
- Kemenangan di pentas akhir dicapai melalui persembahan sengit dan penentuan tie-break yang berjaya dimenangi.
Pasangan berusia 20 dan 23 tahun itu mencuri perhatian apabila melakar kejutan dalam acara pairs wanita dengan menewaskan wakil Hong Kong China, yang juga juara bertahan Piala Dunia tahun lalu, sekali gus membuktikan kemampuan mereka bersaing di peringkat antarabangsa.
Mengulas mengenai hala tuju selepas kejayaan tersebut, kedua-duanya berharap pencapaian itu membuka ruang untuk mereka dipertimbangkan menyertai skuad pelapis kebangsaan.
“Saya berharap kemenangan ini memberi peluang kepada kami untuk berada dalam kelompok pelapis kebangsaan. Memandangkan skuad pelapis Malaysia bakal ditubuhkan tidak lama lagi, saya berharap nama saya turut dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam skuad tersebut.”
“Buat masa ini, kami hanya dipanggil untuk menyertai kejohanan. Jadi, saya benar-benar berharap agar diberikan peluang untuk berada dalam skuad pelapis negara,” kata Nur Syafira.
Sementara itu, Nurul Balqis pula mengakui mereka tidak meletakkan jangkaan tinggi memandangkan reputasi besar dimiliki lawan yang merupakan juara Piala Dunia musim lalu.
“Kemenangan ini di luar jangkaan kami, memandangkan pihak lawan merupakan juara Piala Dunia tahun lalu. Kami hanya fokus untuk memberikan persembahan yang terbaik dan berjuang sehabis tenaga di lapangan,” kata Nurul Balqis Anisha.
Sepanjang kejohanan, mereka mempamerkan aksi konsisten apabila mara ke pentas akhir dengan rekod kemenangan straight set dari pusingan awal.
Aksi pentas akhir, pasangan negara menewaskan gandingan Hong Kong, Chery Chan dan Helen Cheun dengan keputusan 6-4, 5-6 sebelum memastikan kemenangan 3-0 dalam penentuan tie-break.
Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan gelaran juara, malah menyuntik keyakinan baharu buat gandingan muda itu untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan lebih besar selepas ini.