
MIAMI, 26 Mac – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dan pemain nombor dua, Elena Rybakina mengesahkan pertembungan di separuh akhir Miami Open selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.
- Sabalenka menewaskan Hailey Baptiste 6-4, 6-4 untuk mara ke separuh akhir.
- Rybakina bangkit menewaskan Jessica Pegula 2-6, 6-3, 6-4, kemenangan kelima berturut-turut ke atas Pegula.
- Kemenangan di Miami bakal meletakkan Sabalenka hampir melengkapkan 'Sunshine Double' selepas juara Indian Wells.
Juara bertahan, Sabalenka, menewaskan pemain Amerika Syarikat, Hailey Baptiste dengan keputusan 6-4, 6-4, manakala Rybakina bangkit menundukkan pilihan kelima, Jessica Pegula 2-6, 6-3, 6-4.
Kedua-dua pemain dijadualkan berentap di Stadium Hard Rock bagi merebut tempat ke final kejohanan berprestij itu.
Pertemuan ini turut menjadi ulangan beberapa aksi sengit antara kedua-dua pemain sebelum ini, termasuk final Terbuka Australia awal tahun ini yang dimenangi Rybakina.
Namun, Sabalenka membalas kekalahan tersebut apabila menewaskan lawannya di final kejohanan Terbuka Indian Wells bulan ini.
“Kami sudah banyak kali bertemu dan setiap perlawanan adalah pertarungan sengit serta menarik. Saya sangat teruja untuk berdepan dengannya sekali lagi,” kata Sabalenka.
Kemenangan di Miami bakal meletakkan Sabalenka hanya selangkah lagi untuk melengkapkan gelaran ‘Sunshine Double’, iaitu menjuarai Indian Wells dan Miami dalam musim yang sama.
Dalam aksi suku akhir, Baptiste yang tampil dalam penampilan sulung di peringkat ini memberikan tentangan sengit, namun gagal memanfaatkan peluang penting, termasuk beberapa mata pemecah servis.
Sementara itu, Rybakina sekali lagi membuktikan keunggulannya ke atas Pegula dengan mencatat kemenangan kelima berturut-turut ke atas pemain Amerika itu.
Selepas tewas set pertama, Rybakina bangkit menguasai permainan dan memastikan kemenangan dalam tiga set.
“Perlawanan dengan Jessica sentiasa sukar. Saya sedikit tergesa-gesa pada awalnya, tetapi berjaya bangkit dan mengubah permainan,” kata Rybakina.
Dalam saingan lelaki, pemain Republik Czech, Jiri Lehecka menamatkan kemaraan pemain kelayakan Sepanyol, Martin Landaluce selepas menang 7-6 (7/1), 7-5.
Lehecka kini akan berdepan sama ada Tommy Paul atau Arthur Fils bagi merebut tempat ke final.
Aksi separuh akhir wanita antara Sabalenka dan Rybakina dijangka menjadi tumpuan utama dengan kedua-dua pemain berada di prestasi terbaik ketika ini.- AFP