
INDIAN WELLS, 12 Mac – Juara bertahan, Jack Draper melakar kejutan terbesar dalam kariernya selepas menumbangkan pemain nombor tiga dunia, Novak Djokovic untuk mara ke peringkat suku akhir Terbuka Indian Wells hari ini.
- Draper bangkit selepas ketinggalan, menang 4-6, 6-4, 7-6 (5) dalam perlawanan 2 jam 35 minit.
- Kemenangan bermakna kerana beliau baru kembali beraksi selepas lapan bulan berehat akibat kecederaan lengan.
- Djokovic gagal ke suku akhir buat pertama kali sejak 2016; Draper dijadual bertemu Daniil Medvedev, pertemuan dijangka tumpuan.
Pemain Britain berusia 24 tahun itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 4-6, 6-4, 7-6 (5) dalam aksi pusingan ke-16 yang memakan masa dua jam 35 minit.
Kemenangan ini amat bermakna buat Draper yang baru sahaja kembali beraksi selepas berehat selama lapan bulan akibat kecederaan lengan.
Beliau kini melebarkan rekod tanpa kalah di Indian Wells kepada lapan perlawanan berturut-turut.

Bagi Djokovic yang pernah memenanginya sebanyak lima kali, ini kali pertama beliau gagal ke suku akhir kejohanan berkenaan sejak 2016.
Jaguh Serbia berusia 38 tahun tersebut yang bermain dalam kejohanan pertamanya sejak Terbuka Australia Januari lalu, dilihat bergelut dengan kepantasan Draper terutamanya pada set penentuan.
Draper dijadualkan bertemu pilihan ke-11 dari Rusia, Daniil Medvedev, pada Jumaat.
Pertemuan antara Draper dan Medvedev bakal menjadi tumpuan memandangkan kedua-dua pemain berada dalam prestasi terbaik dengan Medvedev baru sahaja menjuarai Terbuka Dubai bulan lalu.-REUTERS