
MELBOURNE, 23 Januari – Penganjur Terbuka Australia memutuskan untuk memulakan perlawanan lebih awal pada Sabtu susulan ramalan suhu mencecah 40 darjah Celsius, sekali gus memaksa perubahan jadual serta amaran keselamatan kepada penonton.
- Perlawanan Terbuka Australia dimulakan lebih awal kerana ramalan suhu mencecah 40°c.
- Penganjur nasihatkan penonton berjaga-jaga dan sesetengah perlawanan bermula seawal 10.00 pagi.
- Gelanggang berbumbung boleh ditutup dan pengadil boleh menggantung perlawanan jika cuaca ekstrem.
- Cuaca dijangka turun ke sekitar 24°c Ahad tetapi kembali meningkat hingga 43°c pada Selasa.
Aksi di gelanggang utama akan bermula pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan, lebih awal berbanding jadual biasa iaitu sekitar pukul 11.00 atau 11.30 pagi.
Sementara itu, perlawanan di gelanggang lain dijadualkan bermula seawal pukul 10.00 pagi, dengan penganjur menasihatkan penonton agar mengambil langkah berjaga-jaga berikutan cuaca panas melampau dan pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari.
Pengarah kejohanan, Craig Tiley berkata, keadaan cuaca pada sebelah pagi dijangka lebih selesa dengan suhu sekitar pertengahan 20 darjah Celsius, justeru penganjur mengambil peluang memulakan perlawanan lebih awal.
“Kami menjangkakan keadaan yang lebih menyenangkan pada waktu pagi dan akan memulakan perlawanan lebih awal bagi memanfaatkan cuaca yang lebih sederhana,” katanya.
Beberapa pemain ternama termasuk Novak Djokovic, juara bertahan Jannik Sinner dan Madison Keys dijadual beraksi pada Sabtu.
Suhu dijangka memuncak pada lewat petang sebelum kembali hampir normal pada Ahad, namun diramal meningkat semula sehingga 43 darjah Celsius pada Selasa.
Naib juara tiga kali, Daniil Medvedev, yang tidak beraksi pada Sabtu, berkata cuaca panas melampau itu berkemungkinan menjejaskan sesi latihannya menjelang pusingan keempat.
“Jika terlalu panas, kami boleh berlatih di dalam bangunan. Tetapi saya lebih gemar berlatih di luar,” katanya sambil menyifatkan situasi itu menarik untuk disaksikan.
Menurut peraturan Terbuka Australia, pengadil kejohanan mempunyai kuasa untuk menggantung perlawanan atau mengarahkan rehat sekiranya cuaca berada pada tahap ekstrem.
Gelanggang berbumbung seperti Rod Laver Arena juga boleh ditutup bagi mengurangkan kesan cuaca panas.
Pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka, yang tidak beraksi pada Sabtu, menyifatkan cuaca di Melbourne sebagai tidak menentu.
“Saya tidak mahu bermain dalam keadaan sebegitu kerana ia memberi tekanan besar kepada tubuh pemain,” kata juara Grand Slam empat kali itu.
Jelasnya cuaca ekstrem memerlukan pelarasan dari segi peralatan dan pendekatan perlawanan, bergantung kepada keadaan semasa.
Biro Meteorologi Australia memaklumkan suhu di Melbourne dijangka menurun kepada sekitar 24 darjah Celsius pada Ahad sebelum kembali meningkat pada Isnin dan Selasa.-AFP