Terbuka Australia: Sinner ikut jejak Djokovic, Alcaraz mara ke pusingan ketiga

Jannik Sinner/AFP

MELBOURNE, 22 Januari– Juara bertahan dua kali, Jannik Sinner mara tanpa masalah ke pusingan ketiga Terbuka Australia selepas menundukkan wakil tuan rumah, James Duckworth, dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sinner mara mudah ke pusingan ketiga selepas menang bergaya 6-1, 6-4, 6-2 ke atas James Duckworth.
  • Kejayaan itu meletakkan Sinner berpeluang raih hatrik juara Terbuka Australia setanding Djokovic jika menang akhir.
  • Carlos Alcaraz dan Novak Djokovic turut mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga.

Pemain pilihan kedua dari Itali itu mencatat kemenangan bergaya 6-1, 6-4, 6-2 dalam tempoh satu jam 49 minit ke atas Duckworth yang bertanding atas tiket wildcard di Rod Laver Arena.

Sinner dijadualkan bertemu pemain Amerika Syarikat, Eliot Spizzirri, yang kini menghuni ranking ke-85 dunia, dalam usahanya memburu kejuaraan hatrik di Melbourne Park.

Sekiranya berjaya merangkul gelaran ketiga berturut-turut di Melbourne, Sinner akan menyertai Novak Djokovic sebagai satu-satunya pemain lelaki dalam Era Terbuka (sejak 1968) yang mencapai pencapaian tersebut.

“Setiap perlawanan sangat mencabar, jadi saya gembira dapat mara ke pusingan seterusnya dan berpuas hati dengan prestasi saya. Anda semua sangat adil terhadap saya, terima kasih atas sokongan yang diberikan.”

“Saya rasa berada dalam kondisi yang baik ketika ini. Fizikal dan mental berada pada tahap terbaik. Saya menganggap ini gelanggang yang sangat istimewa dan kejohanan ini juga amat bermakna buat saya,”kata Sinner ketika temu bual di gelanggang.

Duckworth, 34 tahun, jelas tenggelam sejak awal perlawanan apabila Sinner menguasai set pertama secara sepihak dalam masa hanya 26 minit.

Pemain ranking ke-88 dunia itu memperlihatkan tentangan lebih baik pada set kedua apabila mendahului 2-1 ketika kedua-dua pemain saling mempertahankan servis, namun gagal mengekalkan momentum.

Duckworth bertahan dalam beberapa permainan servis di bawah tekanan tinggi, namun akhirnya goyah pada permainan ketujuh apabila Sinner, 24, meningkatkan rentak permainan.

Selepas itu, segala saki-baki tentangan Duckworth lenyap dan Sinner tidak berdepan kesukaran untuk menamatkan perlawanan.

Dalam pada itu, pencabar utama Sinner, pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz serta juara 10 kali Terbuka Australia, Novak Djokovic, telah lebih awal mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga. -AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan