SUKMA 2026: Tennis KL sasar pertahan 2 emas

Setiausaha Kehormat Tennis KL, Maria Fauzana Ghazali

KUALA LUMPUR, 12 April – Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (Tennis KL) berazam mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi mereka dua tahun lalu di temasya Sukan Malaysia 2026 (SUKMA 2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran mempertahankan dua pingat emas sebagai penanda aras realistik bagi SUKMA 2026.
  • Pasukan lelaki sandarkan Imran Daniel Hazli dan Darrshan Suresh Kumar, berpangkalan di AS dan dijangka pulang Mei.
  • Skuad wanita diketuai Daania Daniella Hazli (kelompok 500 dunia) dan Nao Phang Ziyi, juga berpangkalan di AS.

Setiausaha Kehormat Tennis KL, Maria Fauzana Ghazali berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai penanda aras realistik meskipun mereka mempunyai perancangan untuk meraih pencapaian lebih baik pada edisi kali ini.

“Untuk SUKMA pada kali ni, apa yang kita boleh sasarkan ialah mempertahankan dua pingat emas yang kita ada sebelum ini iaitu berpasukan campuran dan juga double lelaki.

“Tapi pada tahun ini, kita letak dua emas sebagai penanda aras. Dalam perbincangan dalaman persatuan, kita memang sasar untuk capai lebih daripada dua pingat emas, tapi pada masa ni kita tidak mahu telalu yakin, kita letak dua emas sebagai sasaran,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Titiwangsa, hari ini.

Beliau berkata, bagi kategori lelaki, Kuala Lumpur mempertaruhkan dua pemain utama iaitu Imran Daniel Hazli dan Darrshan Suresh Kumar yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

“Mereka berdua sekarang sedang beraksi di AS. Pemain berpangkalan di AS. Jadi mereka akan datang balik pada bulan Mei dan mereka merupakan pemain yang mempunyai ranking yang agak tinggi di Malaysia,” katanya.

Bagi kategori wanita pula, Maria Fauzana berkata, pasukan Kuala Lumpur akan diketuai pemain remaja utama, Daania Daniella Hazli yang berada dalam kelompok 500 terbaik dunia dan Nao Phang Ziyi yang juga berpangkalan di AS.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, beliau memaklumkan kebanyakan pemain kini masih menyertai kejohanan kompetitif di AS dan skuad penuh dijangka hanya dapat dikumpulkan sekitar Mei atau Jun.