
KUALA LUMPUR, 20 Februari– Skuad Muay Thai negara menyasarkan sekurang-kurangnya empat pingat emas pada Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.
- Sasaran sekurang-kurangnya empat pingat emas pada Sukan SEA 2027 sebagai tuan rumah dengan sasaran dianggap realistik.
- Senarai atlet utama termasuk juara dunia seperti Mohd Rifdean, Ahmad Nor Iman dan Adam Rakib telah diluluskan.
- Pemilihan kategori berdasarkan taktikal, menggugurkan heavyweight dan fokus pada kategori yang beri kelebihan kepada Malaysia.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata sasaran realistik itu ditetapkan memandangkan Malaysia bertindak sebagai tuan rumah dan mengambil kira rekod kejayaan terdahulu.
Beliau turut memaklumkan bahawa senarai atlet utama, termasuk beberapa juara dunia, telah diluluskan sebagai persiapan menghadapi temasya tersebut.
“Pada 2017 kita meraih dua pingat emas, jadi kali ini sasaran kita adalah empat pingat emas. Jika berjaya memperoleh lima, itu dianggap sebagai satu bonus.”
“Kita turut membincangkan secara terperinci persiapan menghadapi Sukan SEA 2027, termasuk kategori yang akan dipertandingkan serta senarai atlet yang akan dipersiapkan. Kali ini kita turut menyenaraikan atlet bertaraf juara dunia seperti Mohd Rifdean Masdor, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dan Adam Rakib, dan perkara itu telah mendapat kelulusan Majlis Sukan Negara,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara, di sini.
Beliau berkata Malaysia juga akan menggunakan pendekatan taktikal dalam pemilihan kategori acara Muay Thai untuk meningkatkan peluang menyaingi Thailand.
Hanya kategori yang memberi kelebihan kepada atlet negara akan disenaraikan, manakala kategori heavyweight digugurkan kerana sukar memberikan pulangan pingat.
“Untuk muncul sebagai juara keseluruhan, kita perlu menggunakan pendekatan yang lebih strategik. Kita tidak akan menyertai semua kategori yang dipertandingkan di Thailand.”
“Sebagai contoh, bagi kategori 75 kilogram, 80 kilogram dan 85 kilogram, peluang kita agak tipis kerana kita tidak mempunyai bakat dalam kelas berat tersebut. Kategori berkenaan lazimnya dikuasai Thailand, Filipina dan Vietnam,” jelasnya.
Sementara itu, pendekatan yang sama turut dibincangkan di peringkat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi semua sukan yang terlibat sebagai tuan rumah temasya.