Sukan orang pekak terima pengiktirafan, bukti keupayaan di peringkat antarabangsa

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (tengah) bergambar bersama para penerima anugerah pada majlis Anugerah Sukan Pekak Negara di Majlis Sukan Negara hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari – Sukan orang pekak negara terus menerima pengiktirafan apabila barisan atlet cemerlang diraikan dalam Majlis Apresiasi dan Anugerah MSDeaf 2025, sekali gus membuktikan keupayaan mereka bersaing di pentas antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atlet sukan orang pekak diraikan di Majlis Apresiasi dan Anugerah MSDeaf 2025 sebagai pengiktirafan prestasi mereka.
  • Kejayaan pingat Deaflympics Tokyo 2025 membuktikan keupayaan atlet pekak bersaing dan mengharumkan negara di peringkat antarabangsa.
  • Anugerah meningkatkan semangat, pembangunan sukan pekak dan penghasilan atlet baharu dari peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penganugerahan itu bukan sahaja menghargai pencapaian atlet, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan sukan orang pekak di negara ini.

“Jadi harapan saya adalah sukan orang pekak ini akan terus diperkasakan, akan terus mencungkil atlet-atlet baharu di peringkat akar umbi dan juga akan menjadi sukan-sukan yang hebat. Bukan sahaja di peringkat nasional tapi yang penting adalah di peringkat antarabangsa untuk membanggakan negara kita,” katanya kepada pemberita selepas anugerah tersebut, di sini hari ini.

Pada majlis sama, gandingan Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong dinobatkan sebagai Olahragawan Anugerah Sukan Pekak 2025 susulan kejayaan merangkul pingat emas acara beregu tenpin boling pada Sukan Deaflympics Tokyo 2025, November lalu.

Syabil Azam menyifatkan pengiktirafan itu sebagai detik paling bermakna dalam kerjaya sukannya, terutama kerana berpeluang mengharumkan nama keluarga dan negara.

“Alhamdulillah sebab memang kali pertama saya mewakili negara ke Sukan Deaflympics dan juga saya rasa amat bangga sekali kerana saya dapat membanggakan juga kedudukan ibu bapa saya,” kata beliau.

Sementara itu, kejayaan membawa pulang pingat perak acara beregu wanita Deaflympics Tokyo 2025 turut menyaksikan gandingan Huwainaa Danduan Abdullah dan Nor Misha Nathera Mackery dipilih sebagai Olahragawati Anugerah Sukan Pekak 2025.

Huwainaa menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu kejutan manis yang tidak pernah dijangkakan, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dalam arena sukan.

“Masa kami duduk sama-sama itu kami pon, oh kalau siapa yang berjaya itu tahniah la tapi tak tahu pula nama kami pula yang disebutkan jadi memang saya rasa sangat gembira dan juga bangga dapat anugerah olahragawati ini, ” jelasnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang kini memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) serta Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Negeri Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah turut diiktiraf dengan menerima Anugerah Khas.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan