Stadium Titiwangsa kini dikenali sebagai Home of Sepak Takraw’

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Stadium Titiwangsa diumum secara rasmi sebagai ‘Home of Sepak Takraw’

RINGKASAN BERITA AI
  • Stadium Titiwangsa dijenamakan sebagai "Home of Sepak Takraw" untuk mengiktiraf kejayaan antarabangsa pasukan negara.
  • DBKL memperuntukkan kira-kira RM80,000 untuk naik taraf kemudahan termasuk papan skor LED, surau, bilik media dan stor.
  • Penjenamaan dibuat melalui redesignation tanpa pembinaan baru untuk jimat kos dan fokus pembangunan sukan.
  • Stadium kekal boleh digunakan sukan lain, manakala ia menjadi simbol kebanggaan dan inspirasi untuk atlet serta peminat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata keputusan menjadikan stadium tersebut sebagai gelanggang rasmi skuad sepak takraw negara dibuat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian membanggakan skuad berkenaan di pentas antarabangsa

“Susulan prestasi cemerlang pasukan sepak takraw di peringkat antarabangsa, kita bersetuju untuk menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw dan berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persekutuan Sepak Takraw Malaysia,” katanya selepas merasmikan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ di ibu negara.

Jelas beliau, kerajaan menerusi DBKL memperuntukkan kira-kira RM80,000 bagi penambahbaikan kemudahan stadium, merangkumi lukisan mural dan identiti khas “Home of Sepak Takraw”, kerja mengecat bangunan, pemasangan papan skor LED, naik taraf ruang VIP, surau, bilik media, stor, tandas, penyediaan peralatan sepak takraw serta penambahbaikan bilik persalinan dan bilik mesyuarat.

Tambah beliau, penjenamaan semula stadium tersebut dilaksanakan melalui konsep penetapan semula(redesignation) tanpa melibatkan pembinaan stadium baharu bagi menjimatkan kos serta memberi fokus kepada pembangunan sukan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa meskipun Stadium Titiwangsa dijadikan sebagai hab sepak takraw namun kemudahan itu masih boleh digunakan oleh sukan lain untuk penganjuran acara dan sewaan fasiliti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh /BERNAMA

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan pengumuman tersebut sebagai simbol kebanggaan kepada para atlet dan peminat sepak takraw tanahair.

Jelas Sumali, pengumuman berkenaan juga telah merealisasikan impian untuk mempunyai stadium sendiri khususnya buat sukan sepak takraw.

“Ini bukan sekadar nama, tetapi menjadi satu simbol kebanggaan dan sumber inspirasi kepada atlet serta peminat sepak takraw. Kedudukan stadium di tengah ibu kota juga menjadikannya lokasi yang ikonik untuk sukan ini,” katanya.