
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil kini dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memeterai perjanjian hak penamaan selama tiga tahun bersama Telekom Malaysia Berhad (TM).
- Dana kerjasama disalurkan untuk menaik taraf dan menambahbaik kemudahan stadium, meningkatkan pengalaman pengunjung.
- TM komited menyokong pembangunan ekosistem sukan negara melalui penglibatan korporat dan peningkatan infrastruktur.
- Kerjasama dijangka tingkatkan ekonomi melalui penganjuran acara sukan, hiburan dan konsert berskala besar.
- TM perluas sokongan sukan tempatan, jadi Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan serta bantu penyertaan kejohanan utama.
Penjenamaan semula dua venue sukan utama negara itu berkuat kuasa 6 Mac 2026 dan dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kemudahan sukan negara terus diperkasa serta kekal berada pada tahap terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata inisiatif berkenaan merupakan antara usaha penting pihaknya bagi memastikan kelestarian serta pembangunan jangka panjang kedua-dua stadium tersebut.
“Berkuat kuasa 6 Mac 2026, PSM menjenamakan semula Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.
“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya.
Kerjasama strategik itu turut mencerminkan komitmen TM dalam menyokong pembangunan ekosistem sukan negara melalui penglibatan aktif sektor korporat.
Sebagai syarikat telekomunikasi dan teknologi negara, TM melihat kerjasama berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyumbang kepada pembangunan infrastruktur sukan serta meningkatkan pengalaman pengunjung di venue nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang cukup bersejarah itu.
Menurutnya, Stadium Nasional dan Stadium Putra sejak sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan serta menyaksikan pelbagai detik bersejarah.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya.
Selain menyokong pembangunan infrastruktur sukan, kerjasama tersebut juga dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara menerusi peningkatan penganjuran acara sukan, hiburan dan konsert berskala besar di venue ikonik berkenaan.
Dalam masa sama, TM turut memperluas sokongan kepada sukan tempatan menerusi kerjasama dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia sebagai Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan.
Kerjasama itu menyaksikan TM membantu penyertaan skuad negara dalam beberapa kejohanan utama termasuk Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Sukan SEA 2025 di Bangkok serta Piala Dunia ISTAF 2026.
Amar Huzaimi berkata sokongan berterusan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkasa pembangunan sukan tempatan serta melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negara.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pembangunan sukan tempatan dan memupuk bakat negara. Sepak takraw adalah sukan yang berakar umbi dalam warisan kita dan kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhannya di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.
Sebagai rekod, TM bukanlah nama asing dalam pembangunan sukan negara apabila sebelum ini turut menjadi antara penaja utama saingan liga bola sepak tempatan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
