
KUALA LUMPUR, 13 April – Juara bertahan empat kali berturut-turut, Selangor Red Giants (SRG) kembali membuktikan kehebatan mereka apabila merampas semula kedudukan pendahulu Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-17.
- SRG mencatat dua kemenangan bersih 2-0 ke atas Bigetron MY dan Team Flash, mengumpul empat mata.
- RRQ Tora turun ke tangga kedua selepas hanya menang tipis 2-1, kehilangan kelebihan perbezaan pusingan.
- Invictus Gaming kekal di tempat ketiga dengan kutipan dua mata.
- Team Vamos dan Team Rey raih kemenangan pertama; AC Esports, Team Flash satu mata, Bigetron MY masih tanpa mata.
Kebangkitan tersebut diterjemahkan selepas berakhirnya aksi minggu kedua yang menyaksikan dominasi mutlak skuad gergasi berkenaan.
Rentak cemerlang SRG hadir menerusi dua kemenangan bersih 2-0 menewaskan pasukan Bigetron MY (BTRM) dan Team Flash (FL), sekali gus membolehkan mereka mengumpul empat mata keseluruhan.
Keputusan itu secara tidak langsung memberikan tekanan kepada pencabar lain yang bersaing sengit di kelompok atasan.
Dalam pada itu, RRQ Tora (RRQ) yang memimpin carta pada minggu lalu terpaksa akur menduduki tangga kedua.
Meskipun berkongsi empat mata dengan SRG, kegagalan RRQ mencatatkan kemenangan mutlak selepas hanya menang tipis 2-1 dalam aksi menentang Invictus Gaming dan AC Esports menyebabkan mereka kehilangan kelebihan perbezaan pusingan.
Sementara itu, Invictus Gaming terus mengekalkan kedudukan di tempat ketiga dengan kutipan dua mata biarpun hierarki tiga pasukan teratas tidak menunjukkan perubahan namun persaingan bagi merebut tempat keempat hingga kelapan dalam carta liga mempamerkan perubahan yang cukup ketara bagi minggu ini.
Team Vamos (VMS) dan Team Rey kini masing-masing menghuni tangga keempat serta kelima selepas berjaya meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kali ini.
Kedudukan itu diikuti rapat oleh AC Esports dan Team Flash yang sekadar memungut satu mata, manakala Bigetron MY pula terpaksa menelan kepahitan di dasar liga selepas gagal mengutip sebarang mata daripada empat perlawanan yang ditempuh. – BERNAMA