Spurs pecat ketua jurulatih Thomas Frank

Foto AFP

LONDON, 11 Februari – Tottenham Hotspur telah memecat ketua jurulatih Thomas Frank selepas kurang lapan bulan mengendalikan pasukan, menurut pengumuman kelab Liga Perdana Inggeris itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tottenham memecat Thomas Frank selepas prestasi buruk dalam liga meletakkan kelab di tangga ke-16.
  • Tiada kemenangan dalam lapan perlawanan liga terakhir, rekod terburuk sejak Oktober 2008.
  • Frank dilantik Jun 2025, menandatangani kontrak hingga 2028 tetapi gagal memperbaiki prestasi liga.
  • Kelab menghargai komitmen Frank dan mendoakan kejayaannya walaupun kecemerlangan di Eropah tidak diteruskan.

Pemecatan Frank berlaku susulan kekalahan 1-2 di tempat sendiri kepada Newcastle yang meletakkan Spurs di tangga ke-16 dalam Liga Perdana dan hanya lima mata di atas zon penyingkiran.

Pasukan itu gagal melakar sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir bagi saingan Liga Perdana sekali gus menjadi rekod terburuk mereka sejak Oktober 2008.

Spurs hanya memenangi dua daripada 17 perlawanan liga terakhir mereka dan hanya mengumpul 12 mata dalam tempoh berkenaan.

“Kelab telah membuat keputusan untuk membuat perubahan dalam kedudukan ketua jurulatih dan Thomas Frank akan meninggalkan pasukan hari ini,” menurut kenyataan Tottenham yang dikeluarkan pada Rabu.

Frank mula dilantik pada Jun 2025 dan Spurs telah bertekad untuk memberinya masa dan sokongan yang diperlukan untuk membina masa depan bersama.

“Bagaimanapun, keputusan dan prestasi telah mendorong pihak lembaga untuk membuat keputusan bahawa perubahan pada ketika ini adalah perlu,” menurut kenyataan itu.

Frank, yang sebelum ini mengendalikan Brentford, mengambil alih Spurs pada Jun selepas Ange Postecoglou dipecat.

Dia menandatangani kontrak sehingga 2028 tetapi tidak dapat memperbaiki prestasi kelab dalam liga, meskipun mendapat momentum yang baik dalam pertandingan Eropah.

Jurulatih dari Denmark itu memimpin Spurs ke kelayakan automatik iaitu pusingan 16 terbaik Liga Juara Eropah dengan menduduki tempat keempat dalam peringkat kumpulan.

“Sepanjang masanya di kelab, Thomas telah menunjukkan komitmen yang teguh, memberikan segala-galanya dalam usaha untuk memajukan pasukan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau dan mendoakan kejayaannya pada masa hadapan,” tambah Spurs dalam kenyataannya.

Tottenham tersingkir daripada kedua-dua piala domestik setelah ditewaskan oleh Newcastle pada pusingan keempat Piala Liga, Oktober lalu dan tewas kepada Aston Villa dalam pusingan ketiga Piala FA bulan lalu.- AFP