Speedy Tigers selangkah ke Piala Dunia, bertemu England di separuh akhir

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Kebangsaan Sarjit Singh / FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Skuad hoki lelaki negara hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impian beraksi di di Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 apabila dijadual menentang England pada aksi separuh akhir Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir, tengah malam esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sarjit tekankan pemain perlu manfaat peluang kerana kemenangan ke final jamin tiket automatik ke Piala Dunia.
  • Malaysia akan berdepan cabaran getir menentang England, pasukan nombor empat dunia, tetapi tetap optimis memberi tentangan sengit.
  • Kemenangan 5-4 ke atas China tingkatkan keyakinan Speedy Tigers menjelang perlawanan separuh akhir menentang England.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh, menegaskan anak buahnya perlu memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin kerana kemenangan ke perlawanan akhir akan menjamin tiket automatik ke pentas Piala Dunia.

Mengikut format kejohanan, hanya tiga pasukan terbaik layak secara automatik ke kejohanan yang bakal berlangsung di Belgium dan Belanda pada Ogos depan.

Sarjit bagaimanapun mengakui cabaran getir menanti apabila Malaysia perlu berdepan England yang menghuni ranking keempat dunia, namun beliau percaya pemain mampu memberikan tentangan sengit untuk mencapai sasaran pasukan.

“England bukan lawan yang mudah, ia pasti perlawanan yang sangat sukar. Namun kami akan cuba sedaya upaya dan semua pemain akan memberikan yang terbaik. Diharapkan kami mampu melakukan sesuatu dan mencapai keputusan positif,” katanya.

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan China 5-4 pada aksi terakhir Kumpulan B semalam, sekali gus menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan di belakang Pakistan.

Dalam perlawanan itu, Fitri Saari muncul wira apabila meledak dua gol, manakala tiga lagi jaringan disumbangkan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Faiz Helmi Jali dan Faizal Saari.

Kemenangan itu sekali gus menyuntik keyakinan buat Speedy Tigers menjelang aksi penting menentang England bagi merebut tempat ke perlawanan akhir serta tiket ke pentas Piala Dunia.