Speedy Tigers buru enam pingat emas Sukan SEA 2027

Speedy Tigers/Foto Malaysian Hockey Confederation

PUTRAJAYA, 31 Januari – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mula mengorak langkah awal dalam usaha memburu kejayaan maksimum pada Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • MHC sasarkan enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 dengan persiapan holistik dan awal.
  • Fokus kuat kepada hoki dewan dan Hoki 5s sebagai acara utama untuk kejayaan.
  • Perlu lebih program akar umbi terutama di Sabah dan Sarawak untuk cari bakat baharu.
  • Kekangan kewangan menghalang pendedahan antarabangsa; MHC sedang runding penajaan korporat.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata impian untuk merangkul enam pingat emas mampu tercapai sekiranya persiapan dibuat secara holistik selain bantuan peruntukan kewangan yang mencukupi.

Khususnya bagi acara hoki dewan dan Hoki 5s.

“Kalau kita nak pastikan Sukan SEA 2027 kita nak menang enam pingat emas, hoki padang okey tetapi hoki dewan dan Hoki 5s mesti mula sekarang. Jangan tunggu sebulan sebelum kejohanan baru nak buat persiapan, itu memang tidak boleh,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MHC ke-71 di Menara PERKESO hari ini.

Mengulas tentang AGM hari ini, Subahan berkata badan induk itu bercadang untuk menambah program akar umbi, terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi mencungkil bakat baharu di negeri berkenaan.

Sementara itu, mengenai Hoki 5s, beliau berkata Malaysia ketika ini berada di kedudukan kedua dunia, di belakang Belanda.

Bagaimanapun, kekangan utama yang dihadapi MHC ketika ini adalah dari aspek kewangan, khususnya bagi menyediakan pendedahan antarabangsa kepada pemain.

“Hoki 5s ini sebenarnya nombor dua dunia. Jadi dari segi potensi, kita memang mampu sasarkan emas di Sukan SEA 2027 KL.

“Kita tidak cukup dana untuk beri peluang seperti negara lain. Contohnya pasukan India boleh berada di Eropah selama tiga bulan untuk bermain dengan kelab-kelab kuat. Kelab Eropah pun sangat kompetitif. Tapi bagi kita, sekali keluar negara sahaja boleh mencecah RM500,000. Kalau selalu keluar, memang tak mampu bayar gaji,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, MHC sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat korporat termasuk institusi perbankan bagi mendapatkan sokongan penajaan dan kerjasama strategik.

Menurut beliau, MHC akan membawa cadangan tersebut ke peringkat mesyuarat seterusnya bagi memastikan program pembangunan hoki dewan dan Hoki 5s dapat dilaksanakan segera dan secara berterusan sehingga Sukan SEA 2027.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan