
PETALING JAYA, 14 Februari – Skuad ragbi wanita 15 sebelah kebangsaan muncul juara edisi sulung Kejohanan Wanita SEA 15 Sebelah selepas membelasah Filipina 78-0 dalam aksi terakhir di Padang Astaka.
- Skuad ragbi wanita 15 sebelah negara dinobat juara Kejohanan Wanita SEA 15 Sebelah selepas menang besar ke atas Filipina 78-0.
- Pasukan mempamerkan corak permainan agresif dan pertahanan mantap yang menyekat lawan daripada mencipta sebarang mata.
- Ketua jurulatih Raimi Md Yusof puji disiplin dan semangat juang pemain sebagai faktor utama kejayaan.
- Kejayaan ini mengesahkan Malaysia juara berdasarkan kelebihan jumlah jaringan dan positif untuk persiapan kejohanan akan datang.
Pasukan negara menampilkan corak permainan agresif dan pertahanan mantap, menyukarkan lawan untuk mencipta sebarang mata.
Ketua jurulatih, Raimi Md Yusof, menyifatkan kejayaan itu sebagai luar biasa hasil disiplin dan semangat juang tinggi pemain.
“Selalunya perlawanan 15 sebelah ini berdasarkan kepada saiz dan kekuatan.
“Tetapi pada hari ini pemain membuktikan semangat juang itu lebih kuat berbanding fizikal. Saya juga berbangga dengan corak pertahanan ditampilkan mereka,” katanya kepada media.
Kemenangan besar itu mengesahkan Malaysia sebagai juara keseluruhan berdasarkan kelebihan jumlah jaringan selepas terikat 15-15 dengan Singapura pada aksi pembukaan 8 Februari lalu.
Sepanjang kejohanan tiga penjuru, Malaysia konsisten mengawal permainan, terutama dalam aksi penentuan menentang Filipina.
Dalam aksi lain, Singapura menewaskan Filipina 51-0 pada 11 Februari lalu menjadikan keputusan juara bergantung kepada jumlah jaringan keseluruhan.
Kejayaan ini dilihat sebagai petanda positif perkembangan ragbi wanita negara khususnya dalam memperkukuh persiapan menghadapi kejohanan serantau dan antarabangsa akan datang.